AGENDANASIONAL

Polis lumpuh sindiket tipu tawar gaji lumayan guna platform e-dagang

KUALA LUMPUR, 22 APRIL: Polis berjaya melumpuhkan satu sindiket penipuan yang menawarkan pekerjaan separuh masa menerusi platform e-dagang dengan penahanan sembilan individu termasuk seorang wanita warga Thailand dalam serbuan di sekitar Kuala Lumpur pada 15 April lepas.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur Supt Mohd Mahidisham Ishak berkata kesemua suspek berusia lingkungan 17 sehingga 37 tahun ditahan di sebuah rumah yang dijadikan pusat panggilan untuk ‘memancing’ orang ramai terutamanya golongan muda menerima tawaran pekerjaan dengan diberikan komisen lumayan.

“Sindiket yang aktif sejak Mac lepas ini akan menjerat mangsa dengan menyebarkan mesej tawaran kerja sebagai pembeli melalui aplikasi WhatsApp sebelum dimasukkan ke dalam sebuah grup talian komunikasi yang kebanyakannya terdiri daripada ahli sindiket itu bagi meyakinkan mangsa mengenai tawaran pekerjaan itu.

“Mangsa kemudian akan diarahkan membeli barangan di platform e-dagang dan setiap barangan yang dibeli akan dibayar bersama dengan komisen sebanyak lapan peratus daripada harga barangan oleh sindiket,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Beliau berkata polis turut merampas 57 buah telefon bimbit, empat buah komputer riba dan tujuh komputer untuk siasatan lanjut bagi mengenal pasti penglibatan sindiket ini dalam kes penipuan di platform e-dagang.

Mohd Mahidisham berkata 67 kertas siasatan melibatkan modus operandi yang sama dengan sindiket ini dibuka di seluruh negara dengan nilai kerugian RM689,835.

Beliau berkata polis sedang memburu dua lelaki berusia lingkungan 30an yang disyaki dalang sindiket ini, dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini diminta supaya menghubungi balai polis yang berhampiran bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 402 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :