Orang ramai mematuhi arahan menggunakan pelitup muka selepas kerajaan mewajibkan penggunaannya di tempat awam dan sesak bagi mengawal penularan Covid-19. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jumlah kes harian menurun, Selangor masih lebih 2,000

KUALA LUMPUR, 6 JUN: Kes baharu Covid-19 hari ini terus mencatat penurunan apabila merekodkan 6,241 kes berbanding 7,452 semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi perkongsian dalam laman Twitter berkata berikutan perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif di Malaysia setakat ini ialah 616,815 kes.

Menurutnya, Selangor mencatat kes harian tertinggi sebanyak 2,178 diikuti Sarawak (600), Johor (565), Negeri Sembilan (556), Kuala Lumpur (415), Sabah (305), Pulau Pinang (271) dan Kelantan (270).

Selain itu, Melaka dengan 225 kes, Labuan (212), Perak (174), Terengganu (158), Pahang (155), Kedah (125), Putrajaya (30) dan Perlis (2).

Dr Noor Hisham menerusi satu kenyataan media memaklumkan daripada jumlah kes baharu itu, 14 adalah kes import manakala 6,227 melibatkan penularan dalam negara.

Selain itu, katanya sebanyak 5,133 kes sembuh dicatat menjadikan jumlah kumulatif pulih 526,809 kes manakala kes aktif kini 86,628.

Jumlah kematian akibat pandemik itu pula meningkat kepada 3,378 selepas 87 kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas melibatkan mangsa dalam lingkungan umur 25 hingga 89 tahun.

Beliau juga memaklumkan sebanyak 890 kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 444 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Katanya 30 kluster baharu dikesan, menjadikan jumlah kluster tertinggi pernah direkodkan dengan 18 kluster membabitkan penularan di tempat kerja termasuk 10 kluster sektor perkilangan; tujuh kluster komuniti dan masing-masing satu kluster melibatkan institusi pendidikan lain, pendidikan tinggi, kumpulan berisiko tinggi, keagamaan serta pusat tahanan.

Kluster tempat kerja direkodkan ialah Jalan Silat Harimau 21; Jalan Bertam 23; Jalan Teknologi Perintis Dua; Jalan Kebun Sayur; Jalan Parit Haji Zain; Ladang Tereh dan Taman Aman (Johor) serta Jalan Utama; Sawit Kinabatangan dan Jalan Ketiau Tombovo di Sabah.

Selain itu, ia juga melibatkan Persiaran Sabak 26 dan Jalan Waja Enam Belas (Selangor); Sri Cemerlang (Kelantan); Industri Chain Ferry dan Hilir Sungai Kluang Tiga (Pulau Pinang); Industri Bukit Nian (Melaka), Dah Saga (Kedah) dan Jalan Alamanda Dua di Putrajaya serta Selangor.

Kluster komuniti pula ialah Gusi, Tamalang dan Murni C di Sabah; Bukit Jong, Kampung Bakong dan Kampung Jejawi (Kelantan); serta Jaya Gading di Pahang.

Kluster pendidikan lain melibatkan Jalan Kasturi Satu di Selangor, kluster pendidikan tinggi melibatkan Behrang Stesen (Perak); kluster kumpulan berisiko tinggi Bukit Gasing (Selangor), kluster keagamaan Kilometer 35 Kemendor (Melaka) serta kluster pusat tahanan Pagar Jalan Sultanah di Johor.

– BERNAMA


Pengarang :