Selangorkini
Tok Batin Kampung Chadak, Anjang Alang (tiga, kanan) memberi penerangan kepada Orang Asli mengenai kebaikan vaksin Covid-19 pada Program Vaksinasi Perkampungan Orang Asli Kampung Chadak di Hulu Kinta pada 5 Julai 2021. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Orang Asli teruja divaksin, rasa lebih selamat keluar bekerja

IPOH, 6 JULAI: Seorang tukang cuci Orang Asli menzahirkan rasa syukur kerana menerima suntikan vaksin Covid-19 dan berasa lebih yakin serta selamat untuk menjalankan tugas di Sekolah Menengah Kebangsaan Hulu Kinta, dekat sini.

Mat Ngingan Anjang, 54, adalah antara 100 penduduk Orang Asli di sekitar Hulu Kinta yang menerima vaksin sempena Program Vaksinasi Perkampungan Orang Asli Kampung Chadak Ahad lepas.

“Saya bersama isteri Long Anjang dan dua anak iaitu Mohd Ikmal, 21, dan Rozilawati, 26, menunggang motosikal dari kediaman kami di Kampung Tonggang seawal 8 awal pagi bagi mendapatkan vaksin dan syukur keadaan kami adalah baik,” katanya ketika ditemui Bernama di Kampung Chadak, kira-kira 30 kilometer dari sini.

Bagi Mat Ngingan, meskipun sesi persekolahan ditutup ketika ini, suntikan vaksin Sinovac yang diterimanya itu diharap dapat melindungi dirinya dan pelajar serta guru ketika beliau menjalankan tugas di sekolah berkenaan.

Menurutnya, kesedaran mengenai kepentingan mengambil suntikan vaksin semakin meningkat dalam kalangan masyarakat Orang Asli di kampungnya itu.

“Ada yang enggan mengambil suntikan vaksin ini kerana mereka hanya takut pada jarum dan tidak kurang juga yang pada awalnya terpengaruh dengan cerita dan dakwaan menerusi laman sosial mengenai kesan sampingan selepas menyuntik vaksin Covid-19.

“Bagaimanapun, kini ramai yang sudah mula percaya akan kebaikan vaksin untuk diri dan keluarga mereka,” katanya sambil memuji perjalanan sistem pemberian vaksin pada program itu yang disifatkanya amat mudah dan cepat.

Pada program yang dihadiri Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad dan Ahli Parlimen Tambun Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu itu, seramai 100 penduduk dari empat perkampungan Orang Asli iaitu Kampung Tonggang, Kampung Suluh, Kampung Makmur dan Kampung Chadak di Hulu Kinta, Tambun menerima suntikan vaksin Covid-19.

Sementara itu, Tok Batin Kampung Chadak, Anjang Alang, berkata beliau adalah antara individu pertama yang menerima suntikan di perkampungan itu dan keadaan kesihatanya yang baik selepas disuntik sekali gus memberi keyakinan kepada orang lain untuk mendapatkan vaksin Covid-19.

Beliau berkata pelbagai usaha dilakukan pihaknya bagi memastikan penduduk Orang Asli di kawasan seluas kira-kira 1,000 hektar itu mendaftarkan diri bagi mengambil suntikan vaksin kerana terdapat segelintir yang menolak vaksin, beberapa bulan lepas.

“Saya sendiri dan ketua kampung lain pergi ke kawasan-kawasan pedalaman Orang Asli bagi menerangkan mengenai kebaikan vaksin dan bukti-buktinya dengan melihatkan ramai yang menerima vaksin selama beberapa bulan ini.

“Kini, Orang Asli yang pada mulanya menolak vaksin telah mempunyai kesedaran dan bertindak mendaftarkan diri demi menangani jangkitan wabak Covid-19 terutamanya selepas melihat galakan mengenainya di media massa,” katanya.

Justeru, Anjang berkata kerajaan diharapkan dapat mempercepatkan proses pemberian vaksin kepada Orang Asli kerana ramai yang belum menerima suntikan walaupun sudah berdaftar melalui aplikasi MySejahtera.

Seorang penerima warga emas Alang Alang, 63, dari Kampung Makmur berkata beliau hanya mengetahui mengenai keperluan mengambil vaksin melalui anak dan menantunya kerana tiada televisyen mahupun kemudahan media sosial untuk mengikuti perkembangan semasa.

“Menantu saya bawa ke sini menaiki kereta dan menasihatkan saya supaya mengambil suntikan vaksin untuk kesihatan dan syukurlah setakat ini, saya dalam keadaan baik dan tidak rasa sakit,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :