Pemeriksaan suhu badan di premis institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan tidak diwajibkan mulai esok. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKIN
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

3.38 juta rakyat Selangor terima satu dos vaksin setakat ini

SHAH ALAM, 5 OGOS: Seramai 3.38 juta atau 71.2 peratus penduduk Selangor yang memohon vaksin telah menerima satu dos pelalian Covid-19 setakat ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sejumlah 4.89 juta dos diberi menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan 225,628 Program Vaksin Selangor (Selvax).

Beliau menjelaskan Selangor akan mencapai imuniti kelompok menjelang September melalui kedua-dua program yang giat dijalankan ketika ini.

“Meskipun menghadapi cabaran negeri yang mempunyai penduduk teramai di Malaysia serta mencatat kes tertinggi, Selangor terus memacu usaha vaksinasi dengan pencapaian tersebut,” katanya di Facebook.

Kerajaan Negeri menyediakan 500,000 dos vaksin menerusi Selvax Komuniti untuk dimanfaatkan 250,000 rakyat negeri ini.

Manakala sebanyak dua juta dos vaksin pula kepada pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Usaha melibatkan kos bernilai RM200 juta itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka PICK yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas serta pekerja industri.

Bulan lalu, Selangor berjaya mencatat kadar pemberian vaksin harian melebihi 150,000 dos, melepasi sasaran harian sebanyak 135,000 dos.

Jumlah itu tidak termasuk kadar vaksinasi harian menerusi program Selvax membabitkan 15,000 dos.


Pengarang :