Kakitangan Sutera Globals Muhammad Hakimin Nor Azime, 20, menitiskan sampel air liur pesakit pada kit ujian kendiri ‘Gmate Covid-19 Rapid Antigen Test’ buatan Korea pada 29 Julai 2021. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kit ujian percuma jimatkan belanja keluarga dijangkiti Covid-19

PETALING JAYA, 14 OGOS: Inisiatif Selangor mengagihkan kit saringan kendiri menggunakan sampel air liur kepada keluarga dijangkiti Covid-19 dan individu berisiko tinggi merupakan usaha baik membantu rakyat.

Zalina Bujang.

Suri rumah Zalina Bujang, 55, berkata inisiatif itu membantu masyarakat berasa lebih selamat sama ada ketika berada di dalam atau luar rumah sekaligus mencegah penularan wabak.

“Pengalaman saya dijangkiti Covid-19 pada Julai lalu dan berada di hospital selama 10 hari dengan memakai alat bantuan pernafasan amat memeritkan.

“Justeru inisiatif kit saringan percuma sudah pasti memberi kelegaan kepada keluarga terkesan. Jika boleh mengesan awal wabak, mereka dijangkiti boleh terus menjalani kuarantin di rumah,” katanya kepada SelangorKini.

Pemandu lori M Suventhran, 48, berkata pemberian kit saringan membantu menjimatkan perbelanjaan keluarga dijangkiti yang sedang berdepan saat sukar.

M Suventhran

“Kebiasaannya apabila ada antara ahli keluarga dijangkiti, perbelanjaan meningkat contohnya untuk membeli vitamin, peralatan membasmi kuman serta pelbagai keperluan lain.

“Jadi, kit saringan yang diberikan kepada keluarga dijangkiti sedikit sebanyak meringankan beban mereka,” katanya.

Pekerja swasta Ronald Tan, 34, berkata usaha baik Kerajaan Negeri mengekang penularan Covid-19 wajar disokong oleh semua pihak.

“Saya menyokong inisiatif ini kerana rakyat tidak perlu keluarkan duit untuk beli kit saringan terutama dalam keadaan kebanyakan pendapatan keluarga yang terjejas, ” katanya.

Kelmarin Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan sebanyak 60,000 kit saringan kendiri menggunakan sampel air liur akan diagih kepada keluarga yang dijangkiti Covid-19 dan individu berisiko tinggi di negeri ini mulai September.

Kit saringan berkenaan akan dibekal kepada 56 pusat khidmat masyarakat dan pejabat penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN).


Pengarang :