Syarifuddin Azman menyumbang mata berharga buat pasukan Petronas Sprinta Racing setelah menamatkan perlumbaan Kejuaraan Dunia kelas Moto3 di Grand Prix (GP) Aragon di tempat ke-13, di Alcaniz, Sepanyol pada 12 September 2021. Foto Facebook Syarifuddin Azman #Damok
AGENDASUKANKINI

Aksi sulung Damok di GP Aragon mengagumkan

KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Pelumba berbakat negara Syarifuddin Azman menyumbang mata berharga buat pasukan Petronas Sprinta Racing setelah menamatkan perlumbaan Kejuaraan Dunia kelas Moto3 di Grand Prix (GP) Aragon di tempat ke-13, di Alcaniz, Sepanyol semalam.

Terkenal dengan panggilan ‘Damok’, pelumba berusia 19 tahun yang bermula di kedudukan ke-21 melonjak ke kedudukan 19 di dua pusingan pertama perlumbaan.

Bersaing sengit dengan pelumba-pelumba lain, pelumba negara itu terus memperbaiki kedudukannya pada separuh perlumbaan dan kekal kompetitif hingga menamatkan perlumbaan pertamanya di pentas MotoGP dengan keputusan memberangsangkan.

Syarifuddin mengambil alih tempat John McPhee yang beralih ke Moto2 ketinggalan 9.645 saat kepada juara dari Itali Dennis Foggia mewakili pasukan Leopard Racing yang merekodkan 37 minit 53.710s.

Denis Oncu dan Ayumu Sasaki, kedua-duanya dari pasukan Red Bull KTM Tech 3 masing-masing menamatkan saingan di tempat kedua dan ketiga.

Pelumba kelahiran Selangor itu gembira kerana diberi peluang untuk beraksi buat pertama kalinya dalam MotoGP di GP Aragon.

“Ia adalah perlumbaan yang sukar tapi dalam setiap pusingan saya cuba mengikuti rapat pelumba lain, belajar dari mereka dan memintas ke depan jika ada peluang. Agak menakutkan ketika memotong pelumba-pelumba hebat kejuaraan dunia, tapi saya puas hati berjaya melakukannya,” katanya dalam kenyataan.

Rakan sepasukannya Darryn Binder yang bermula di petak hadapan bagaimanapun terpaksa berpuas hati menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh dan meraih sembilan mata pada GP Aragon kali ini.

Pelumba Afrika Selatan itu kekal di tempat keenam dengan 104 mata manakala Syarifuddin di kedudukan ke-28 dengan tiga mata.

Kedua-dua pelumba akan beraksi di GP San Marino pada 17 hingga 19 Sept ini.

– BERNAMA


Pengarang :