AGENSISELANGOR

Bukan hanya pinjaman kewangan, Hijrah bantu usahawan promosi produk

SHAH ALAM, 22 SEPT: Individu yang baru berkecimpung dalam bidang perniagaan di negeri ini digalak merebut peluang membuat pinjaman menerusi Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah).

Usahawan Hijrah, Mohd Shaiful Haniff berkata Hijrah bukan sekadar memberi bantuan kewangan malah turut membantu meningkatkan keupayaan peminjam menjadi lebih berjaya.

“Sebut mengenai pinjam ramai yang takut dari segi bayaran ada bezanya Hijrah dengan yang lain, Hijrah ini tidak zalim dan ada inisiatif lain yang diperkenal oleh Hijrah hingga menjadikan usahawannya berjaya.

“Bagi yang baru nak memulakan perniagaan dan tiada modal ada perlukan sesuatu yang boleh ‘push’ anda jadi pergilah ke Hijrah.. ia bukan sekadar bagi modal tetapi lebih dari itu kerana dari 2020 saya buat ‘loan’ RM10,000 dan kini saya memperoleh hasil hampir ke juta ringgit. Hijrah ini akan membantu anda,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam bual bicara Usahawan Hijrah: Bangkit depani Covid-19 yang disiarkan di Media Selangor, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Ar Rizqie Sdn Bhd ini juga memaklumkan antara bentuk bantuan yang diberikan Hijrah kepadanya termasuk mempromosikan produk iaitu makanan tambahan untuk kanak-kanak.

Pada 29 Mac, Dato’ Menteri Besar berkata Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) berjaya melahirkan seramai 57,211 usahawan sejak ditubuhkan enam tahun lepas.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata mereka menerima manfaat Skim Pembiayaan Mikro Kredit, Skim Pembiayaan Zero to Hero, Skim Pembiayaan Go Digital dan Skim Niaga Darul Ehsan (NaDI) melibatkan dana sejumlah RM554,540,500.


Pengarang :