Lori milik Syarikat A.R Mega Win Sdn Bhd yang dikesan membuang sampah secara haram di kawasan lapang Pasar Sungai Chua, Kajang pada 4 April 2021. Foto MPKj
PBTSELANGOR

Dua syarikat didenda RM1,900 buang sampah secara haram

SHAH ALAM, 28 SEPT: Dua syarikat perkhidmatan pengurusan sisa pepejal didenda RM1,900 oleh Mahkamah Majistret Kajang atas kesalahan membuang sampah secara haram.

Syarikat Loy Onn Sdn Bhd dan A.R Mega Win Sdn Bhd disabitkan hukuman mengikut peruntukan Undang-Undang Kecil 4, Undang- Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan Dan Pelupusan Sampah-Sarap (MPKj) 2007.

Pegawai Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Kamarul Izlan Sulaiman memaklumkan kedua-dua orang kena saman (OKS) mengaku bersalah ketika pendakwaan kes pada 22 September lalu.

“Jabatan Perkhidmatan Perbandaran dan Kesihatan (JPPK) MPKj membuka kertas siasatan ke atas kes pertama pada 19 November 2020 dan kes kedua pada 14 April lalu untuk pendakwaan tersebut,” katanya dalam kenyataan semalam.

Pada 21 Oktober tahun lalu, JPPK mengesan sebuah lori bernombor pendaftaran WEU 6032, Syarikat Loy Onn Sdn Bhd membuang sampah haram di atas Lot 544, Batu 11, Kampung Bukit Raya, Hulu Langat.

Susulan itu, JPPK segera menyita dan mengeluarkan kompaun terhadap pemilik lori terbabit.

Pada 4 April lalu, JPPK menerima rakaman video pembuangan sampah haram di kawasan lapang Pasar Sungai Chua, Kajang yang dihantar Ahli Majlis Nor Zulaila Abd Ghani melalui aplikasi WhatsApp.

Siasatan lanjut mendapati kenderaan jenis hino bernombor pendaftaran WCJ8270 yang terlibat dalam video tersebut digunakan oleh kakitangan Syarikat A.R Mega Win Sdn. Bhd.

Pihak JPPK turut menyita dan mengeluarkan kompaun ke atas lori berkenaan pada 14 April lalu.


Pengarang :