Pelajar Tingkatan 1 Nur Qaisara Aina menunjukkan sijil vaksinasi dos pertama selepas selesai disuntik vaksin Covid-19 jenis Pfizer BioNtech di Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Tun Hussein Onn Kuala Lumpur pada 22 September 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pelajar sekolah harian terima suntikan vaksin secara berjadual

PUTRAJAYA, 22 SEPT: Pelajar sekolah harian akan menerima vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja secara berjadual dan bergiliran mengikut tarikh dan masa yang ditetapkan di pusat pemberian vaksin (PPV).

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata jadual vaksinasi yang dipersetujui pejabat kesihatan daerah (PKD) dan pejabat pendidikan daerah (PPD) akan dikeluarkan pihak sekolah masing-masing untuk edaran kepada pelajar dan ibu bapa.

Bagi remaja di sekolah berasrama di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) termasuk murid orang kurang upaya (OKU) diberi janji temu melalui MySejahtera, manakala remaja tidak bersekolah dibenarkan terus ke PPV yang menjalankan PICK Remaja tanpa janji temu.

“Remaja OKU di sekolah harian dengan ketidakupayaan masalah pendengaran, penglihatan dan masalah pembelajaran akan diberi janji temu mengikut penggiliran sekolah di PPV.

“Remaja OKU bersekolah dengan ketidakupayaan masalah tingkah laku (ADHD, autism dan mental) akan diberi vaksinasi secara janji temu di hospital atau klinik kesihatan,” katanya dalam sidang media PICK Remaja bersama Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Dr Mah Hang Soon di Kementerian Kesihatan, hari ini.

Menurut Dr Noor Azmi bagi remaja OKU yang menghadiri pemulihan di pusat pemulihan dalam komuniti (PDK) vaksin diberikan melalui program jangkau luar di PDK atau fasiliti kesihatan.

Beliau berkata bagi remaja OKU terlantar di institusi diberi vaksinasi secara program jangkau luar, manakala murid OKU terlantar di rumah akan menerima vaksin di rumah menerusi lawatan petugas kesihatan atau badan bukan kerajaan (NGO).

“Remaja di sekolah swasta atau sekolah antarabangsa menerima vaksinasi di PPV sekolah secara berjadual atau program jangkau luar KKM atau pengamal perubatan swasta, serta secara janji temu ke klinik swasta terpilih.

“Bagi remaja berumur di bawah 18 tahun yang sedang menuntut di institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) dibenarkan jumpa terus ke semua PPV yang masih beroperasi,” katanya yang juga merangkap Pengerusi Pasukan Bertindak Imunisasi Covid-19 Remaja (CITF-A).

Dr Noor Azmi turut memaklumkan sejak PICK Remaja dilancarkan pada Isnin, seramai 410,489 remaja menerima dos pertama vaksin setakat semalam dengan Sabah merekod jumlah tertinggi iaitu 140,890 remaja; Sarawak (85,291); Kedah (31,294); Kelantan (17,413); Johor (27,936) dan Labuan (2,515).

Bagi memperluaskan akses PICK Remaja, sebanyak 156 PPV awam dan integrasi mula beroperasi esok yang dilaksanakan secara janji temu melalui MySejahtera, jumpa terus dan vaksinasi berjadual, katanya.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa agar membawa anak mereka ke PPV mengikut jadual vaksinasi yang ditetapkan selain memaklumkan kepada pihak sekolah sekiranya pelajar tidak sihat atau tidak hadir janji temu vaksinasi supaya tarikh baharu dapat ditetapkan.

– BERNAMA


Pengarang :