Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin jenis Pfizer-BioNTech kepada pelajar sekolah menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (remaja) di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman, Terengganu pada 21 September 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Vaksin ikhtiar lawan Covid-19, kurangkan dampak jangkitan

SHAH ALAM, 6 OKT: Bekas pesakit Covid-19 meminta ibu bapa supaya yakin dengan vaksin sebagai ikhtiar untuk melindungi anak mereka daripada wabak berkenaan.

Mahfuzah Muhammad Tarmidi berkata pemberian suntikan pelalian itu terbukti dapat mengurangkan dampak jangkitan berbanding mereka yang tidak menerimanya.

Menurutnya, setiap ibu bapa harus memainkan peranan memberi maklumat tepat berkaitan vaksin untuk mewujudkan kesedaran mengenai kepentingannya.

“Saya bernasib baik kerana anak yang berumur 13 hingga 19 tahun terima, mungkin kesedaran timbul selepas melihat bagaimana keadaan saya yang teruk ketika dijangkiti Covid-19.

“Saya bersyukur bila kerajaan umum program vaksin kepada remaja, bimbang juga kalau terdedah dengan masalah kesihatan sekiranya tiada vaksin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program bual bicara bertajuk Vaksinasi remaja, lindungi semua di Facebook Media Selangor malam tadi.

Mahfuzah berkata setakat ini tiga anaknya sudah menerima vaksin termasuk pasangan kembar berusia 17 tahun yang menghidap eczema dan bronkitis.

“Hari ini genap tujuh hari anak kembar terima dos pertama vaksin dan mereka dalam keadaan baik malah tidak sabar hendak bermain bola sepak.

“Namun saya larang mereka kerana telah dinasihat tidak melakukan aktiviti lasak dalam tempoh 14 hari selepas disuntik,” katanya.


Pengarang :