Selangorkini
BUDAYA RENCANA

Bagaimana akhirnya x digugur daripada aksara?

Oleh Saiful Ghazali
Ilustrasi Fahmi Mustaffa

Barisan aksara masuk ke dalam dewan. Masing-masing memakai kot hitam ala mafia. Dewan tempat mereka bermesyuarat serba putih. Tempat duduk di dalam dewan itu pula terlalu minimalis. Hanya garisan-garisan biru halus yang melintang panjang. Dewan ini nampaknya sudah tidak asing bagi mereka. Aksara-aksara itu sudah tahu tempat duduk masing-masing. Tidak perlu dipelawa. Tidak perlu dijemput duduk. Masing-masing layan diri. Mana tidaknya, dari dahulu lagi merekalah yang tercongok di dalam dewan itu. Tidak bertukar-tukar.

A nampaknya mendahului aksara-aksara lain. A berjalan kemudian berpaling sedikit, menarik nafas, memandang seketika ke arah sesuatu yang telah lama menunggu di dalam dewan. Dia kelihatan lebih tua berbanding huruf-huruf roman yang berderet-deret mengikutinya. A juga tidak susah untuk berjalan. Dia mempunyai sepasang kaki yang lengkap. Langkahnya kemas, yakin dan penuh terampil. Huruf-huruf yang lain hanya membuntuti seperti anak ayam mengekori ibunya ke mana-mana sahaja.

Tetapi tidak bagi X. Awal-awal lagi dia sudah ada di dalam dewan. Bersedirian dengan tujahan lampu sorot yang membahang. Nafasnya kedengaran turun naik segenap dewan yang luas. Sepasang tangan X yang terkangkang luas terpacak bak pedang orang Romawi. X membayangkan wajah A yang bengis yang dibencinya. Seperti ada dendam lama yang belum selesai antara satu sama lain. Sebelum subuh lagi dia sudah terpacak dengan kedua-dua batang kakinya yang terpasung di tengah dewan itu. Siap untuk mendengar perbahasan. Berbahas tentang logika dia bakal digugurkan daripada kumpulan aksaranya. X kembali membuat muka selamba. Riak wajahnya losong kosong.

A sudah sampai lalu duduk pada tempatnya. Dia menarik nafas, kembali merenung garang susuk X yang berada di tengah-tengah dewan. Bencinya kepada X bukan perkara yang boleh dibuat senda. A sungguh-sungguh memusuhi X. A hanya menunggu aksara yang lain selesai duduk di tempat masing-masing. A sudah tidak sabar untuk memulakan perbahasan bagi menggugurkan X. Tidak ada hal semustahak itu pada ketika ini. Perkara menggugurkan X daripada kumpulan harus dilakukan segera.

Tidak lama kemudian, semua aksara sudah duduk di tempat masing-masing dan L menjadi huruf yang paling lambat selesai. L mengesot lambat kerana dia hanya punya sebelah kaki yang leper. Menggeleng-geleng, dia tersenyum kerana mengenangkan perasaan segannya di hadapan aksara yang sudah selesai mengambil tempat masing-masing. X masih kekal seperti tadi. Membuat muka selamba walau dadanya berkocak. Dia berasa seperti haiwan di dalam zoo kerana diperhatikan oleh ahli-ahli dewan yang lain sejak mereka mula memasuki dewan tadi. Terpacak dengan dua batang kakinya yang terkangkang. Seirama dengan sepasang tangan yang mendepa luas di tengah-tengah dewan. X bersedia untuk mendengar pebahasan.

“Engkau si polan bersimbol X ketika dieja huruf besar dan bersimbol x apabila dieja huruf kecil akan kami gugurkan. Aku ulangi supaya jelas bahawa engkau yang wujud dalam sistem nombor binari iaitu angka 01011000 atau 01111000 akan digugurkan daripada gugusan aksara. Itu pasti berlaku pada hari ini,” kata A kepada X tanpa perlu memberikan ucapan alu-aluan. X terkesima sambil fikirannya membayangkan raja di rimba yang sedang mengaum luas sambil menyeringai bibir: singa jantan!

X tidak lantas menjawab. Dia mengimbas kembali perkenalannya dengan A. Dalam ingatan X, aksara tua itulah yang beria-ia mengajaknya dahulu untuk turut serta dalam kelompok aksara itu. Pada ketika itu, mereka tidak cukup bilangan mahu keluar daripada kelompok aksara kuno. X masih ingat bahawa A telah memberi hujah betapa dia akan diberikan peranan yang besar dalam perkembangan bahasa. Dengan wujudnya X, bahasa akan bertambah dinamik dan inklusif. Penerangan A kepada X pada ketika itu disela dengan kritikan-kritikan tajam kepada golongan aksara kuno yang didakwa sebagai kleptokrat, diktator dan pelbagai istilah sains politik. Abjad X tenggelam dengan kepetahan A yang realistik ditimbang akal. Dalam kemelut, X sedar bahawa dia perlu mencari kekuatan untuk mempertahankan dirinya sendiri. “Mengapa? Engkau berikan kepadaku sebab-musababnya.”

“Kerana engkau tidak berguna. Engkau boleh dieja dengan ejaan ‘eks’. Buktinya jelas ketika manusia belajar mengenal huruf, engkau hanya akan dipadankan dengan perkataan X-ray.” Dewan senyap. Ngauman abjad A yang bergema sedewan kembali membuatkan X engsot. Huruf-huruf lain terpinga dengan hujah A. Ada yang terangguk-angguk. Tetapi tiada pula yang berani menggeleng-geleng. Majoriti mereka percaya dan yakin pada prerogatif A.

X pula tetap selamba di tengah-tengah dewan. Dia cuba berpura-pura tidak gabra. X nampak seperti setuju dengan hujah A. Tetapi dia yakin bukan sebab itu sahaja dia mahu digugurkan oleh kumpulan aksaranya. X merasakan ada lagi huruf lain yang menjadi liabiliti di dalam kumpulan mereka.

“Jika begitu kenapa tidak gugurkan B sekali? Dia sudah menyebabkan ramai orang masuk neraka. Dengannyalah orang menyumpah seranah. Dialah pangkal kepada perkataan caci maki seperti babi, bahlul, banggang, bodoh, bongok dan biul. Pokok-pangkalnya dia bergelumang dengan pelbagai jenayah bahasa. Aku tidak terlibat dengan kerja kotor begitu.”

“Itu bukan salah B. Itu salah manusia yang menyalahgunakannya.” bidas A dengan tegas. Suasana dewan gamat. Ahli-ahlinya menghentak lantai tanda setuju. Abjad I yang terpacak tunggal juga terlompat-lompat tanda setuju.

X yang kekal berada di tengah dewan seperti mahu pitam. Dia sedar bahawa pengaruhnya tidak berada dalam kumpulan majoriti. Dalam pening pikat dia mengenang akan sejarahnya yang panjang. X masih ingat ketika dia sering digunakan oleh orang zaman kegelapan. Mereka mencacah simbol pangkah itu di dahi atau di muka pintu supaya tidak dilaknat oleh malaikat maut. Kepercayaan itu semakin hilang seiring dengan peredaran masa dan perkembangan ilmu logika.

Sedang X mengelamun menghimbau masa lampau, A tanpa kasihan menekat punat berhampiran dengannya. Dalam sekelip mata X jatuh ke dalam lubang penyingkiran. Kini X sudah digugurkan daripada gugusan aksara. A ketawa dengan tingkah lakunya sendiri. Aksara lain bertepuk-sorak kegirangan. Di hujung anak mata, A memerhati beberapa lawannya terutama W.

 

 


Pengarang :