Penumpang pesawat Singapore Airlines SQ108 dari Singapura lengkap pakaian pelindung diri menunggu giliran untuk menjalani saringan Covid-19 sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerusi Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) udara pada 29 November 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pakar: Berisiko buka sempadan ketika kes tinggi, langkah kurang tepat

SHAH ALAM, 20 FEB: Pembukaan semula sempadan negara ketika jangkitan Covid-19 memuncak dianggap keputusan kurang tepat kerana berisiko melonjakkan lagi kes, kata pakar perubatan.

Meskipun langkah itu penting bagi menjana semula ekonomi, namun kemampuan pengurusan kesihatan juga perlu diambil kira, jelas Prof Madya Dr Rosnah Sutan dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

“Kes positif meningkat dari hari ke hari disebabkan impak varian Omicron, selain sikap sambil lewa masyarakat. Jika sempadan dibuka, apa yang dibimbangkan keupayaan kesihatan kita pula tidak mampu menampung kapasiti pesakit,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau menambah kenaikan kes akan menyebabkan negara lewat menuju endemik malah kerajaan terpaksa
menanggung kos kesihatan yang tinggi untuk keperluan perubatan dan kuarantin.

“Keperluan pembukaan sempadan antarabangsa tidak dinafikan kepentingannya, namun kita perlu pastikan penularan tempatan ini dikawal terlebih dulu,” kata Dr Rosnah.

Sebelum ini, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya optimis Malaysia dapat membuka pintu sempadan dalam masa terdekat dengan keutamaan diberikan kepada negara jiran dan Asia.

 


Pengarang :