Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Datuk Mohd Roslan Sulaiman (kiri) menyerahkan bendera UPM kepada Ravichandaran Tharumalingan bagi Misi UPM Di Puncak Dunia selepas Istiadat Konvokesyen UPM ke-45 di UPM hari ini. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Alumni UPM bakal kibar bendera universiti di puncak Everest

SERDANG, 21 MAC: Alumni Universiti Putra Malaysia (UPM) yang juga pendaki solo negara, T. Ravichandran, akan menawan puncak Everest, dan mengibarkan kibar bendera UPM pada ketinggian 8,849 meter, tahun ini.

Menerusi Misi UPM di Puncak Dunia @Everest, Ravichandran, 57, berkata ia bakal menobatkan UPM sebagai universiti pertama di Malaysia mengibarkan benderanya di puncak Everest.

“Jika pada 2006 dan 2007 saya tawan puncak tertinggi dunia dengan mengibarkan bendera Malaysia, tapi kali ini agak istimewa sebab saya akan kibar bendera UPM,” kata pemegang Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Tani itu kepada pemberita selepas majlis penyerahan bendera UPM di universiti berkenaan hari ini.

Katanya beliau akan bertolak ke Nepal Jumaat ini sebelum memulakan ekspedisi pada 28 Mac, dan dijangka berakhir hujung Mei ini.

“Saya mohon sokongan dari semua warga UPM, anda boleh mengikuti Facebook saya dan meninggalkan komen-komen positif sebagai tanda sokongan moral,” katanya yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Ditanya mengenai tahap persediaannya, beliau berkata terdapat dua sesi latihan pendakian yang akan diadakan di sekitar pergunungan di Nepal sebagai persiapan akhir.

“Walaupun sudah dua kali saya tawan Everest, tapi latihan tetap diperlukan. Bila kita mula mendaki, cuaca menjadi cabaran utama,” katanya.

Sementara itu Naib Canselor UPM Prof Datuk Dr Mohd Roslan Sulaiman menyifatkan misi berkenaan sebagai pengiktirafan kepada UPM dan berharap semangat yang ditonjolkan Ravichandran diteladani warga UPM.

“Kita (UPM) bangga ada alumni yang komited. Walaupun sumbangannya kepada universiti bukan dalam bentuk kewangan, tapi usaha ini mampu mengharumkan nama universiti dan melakar nama di peringkat dunia,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :