EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal, Mohd Zawawi Ahmad Mughni (tengah) dan Pengerusi Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide), Dato’ Bakhtiar Hussin (dua, kiri) memegang tablet sebagai gimik pelancaran aplikasi Infaq Yide di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 31 Mac 2022. Foto Yide
AGENDAAGENSISELANGOR

Aplikasi InfaqYide permudah urusan derma dalam talian

SHAH ALAM, 31 MAC: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) membangunkan sebuah aplikasi digital bagi memudahkan orang ramai menderma secara dalam talian.

Pengerusinya Dato’ Bakhtiar Hussin berkata pembangunan aplikasi InfaqYide dengan kerjasama ToyyibPay Sdn Bhd itu selaras perkembangan revolusi industri 4.0 (IR4.0).

Menurutnya lebih 500 institusi dihimpunkan dalam aplikasi itu antaranya maahad tahfiz, rumah anak yatim, rumah kebajikan, pertubuhan bukan kerajaan serta institusi masjid dan surau.

“Banyak aplikasi sudah dibangunkan sebelum ini, namun Yide memberikan sedikit kelebihan antaranya agensi dalam aplikasi ini semuanya yang sah dan dipercayai.

“Terima kasih saya ucapkan kepada ToyyibPay dan seluruh tenaga kerja yang berkampung berbulan-bulan lamanya bagi membangunkan aplikasi ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menyeru orang ramai memuat turun aplikasi itu supaya boleh menderma tanpa mengira masa dan tempat sejajar dengan slogan ‘satu sentuhan sejuta kebaikan’.

Dalam kenyataan sama, Bakhtiar memaklumkan seramai 8,100 anak yatim berdaftar akan menerima sumbangan Aidilfitri sebanyak RM150 setiap seorang.

Katanya pembiayaan membabitkan dana berjumlah RM1.25 juta itu akan dikreditkan kepada penerima pada 1 Ramadan ini.

 


Pengarang :