Masjid Al-Noor di Christchurch, New Zealand yang diserang hingga mengorbankan banyak nyawa pada 15 Mac 2019.
BERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANRENCANAWAWANCARA

Tembakan di masjid: Pintu syurga sudah dibuka, saya lari

Dari saf depan ketika solat Jumaat pada 15 Mac 2019, dia lari ke luar dan bersembunyi di belakang kereta di halaman belakang Masjid Al Noor, Christchurch.

Namun sahabatnya Abdul Qader, 70, tidak berganjak dari barisan depan jemaah. Berasal dari Somalia, bapa beranak empat itu yang berjaya menempuh perang saudara maut ditembak pengganas kulit putih.

“Kalau orang hendak tumpangkan dia naik kereta, dia tidak mahu; takut kurang pahala jalan kaki,” cerita Noor Yahaya Hamzah, 58, tentang semangat Abdul Qader berjalan kaki tiga kilometer ulang-alik ke masjid tersebut.

Noor Yahaya Hamzah

Dilahir di Tanjong Karang, beliau terdengar bunyi tembakan ketika khatib baru sahaja memulakan khutbah.

Fikirannya terus terlintas untuk lari bersama jemaah yang lain.

“Kita tidak fikir hal lain lagi, tetapi hanya fikir bagaimana mahu selamat waktu itu,” Noor Yahaya dipetik berkata sehari selepas serangan yang mengorbankan 42 jemaah di situ.

Sembilan lagi maut dalam serangan kedua di Pusat Islam Linwood, kira-kira lima kilometer dari Al Noor. Si pengganas kejam Brenton Tarrant, 28 tahun waktu itu, menembak 40 orang lagi termasuk di luar dua masjid berkenaan tetapi semuanya selamat.

Berpindah ke New Zealand pada 2017 semata-mata untuk mengganas, pemuda warga Australia itu menyiarkan secara langsung di Facebook tindakannya mulai sebelum masuk masjid.

Tarrant, kini mendekam di unit kawalan paling ketat Penjara Auckland, menggunakan dron pada 8 Januari 2019 untuk mengenal pasti selok-belok lokasi dan binaan Al Noor.

Terpengaruh ideologi perkauman kulit putih selama bertahun-tahun, pengganas ini mencari video di media sosial bagaimana keadaan masjid sebagai persiapannya menyerang.

Sewaktu lari ke luar masjid, Noor Yahaya sempat menolak seorang jemaah berkerusi roda ke tempat lebih selamat. Beliau kemudiannya menyorok di belakang kereta.

“Semua orang bersembunyi,” katanya, yang menetap di negara itu sejak 1998, kepada media tiga tahun lepas. “Tiada sesiapa mahu (pengganas) nampak.” Tembakan masih dilepaskan bertalu-talu.

Tiba-tiba seorang lelaki yang cedera lari ke arahnya. Darah ahli jemaah itu terkena jubah Noor Yahaya. Waktu itulah beliau membuat panggilan kepada abangnya di Malaysia.

“Saya beritahu abang, kalau saya meninggal dunia hari itu, dia tahu saya berada di belakang masjid. Saya sudah bersedia untuk meninggal dunia pada waktu itu,” katanya kepada Selangorkini melalui jawapan bertulis.

Selepas 20 minit, tembakan berakhir. Pengganas mahu menyerang masjid kedua, yang sudah diselidik dua bulan sebelum kejadian.

Noor Yahaya keluar dari persembunyian dan hatinya amat sebak melihat mayat bergelimpangan di dalam dan luar masjid yang dibuka mulai 1985.

Polis mengarah semua orang ramai berkumpul di Taman Hagley yang terletak di depan masjid. Mereka tidak tahu Tarrant yang sedang mabuk darah pernah melayarkan dronnya dari taman itu. Mereka juga belum sedar sembilan lagi akan menjadi mangsa.

Sehingga hari ini, Noor Yahaya masih ingat setiap detik episod hitam itu. Terdetik juga kekesalan terlepas peluang mati syahid seperti dua sahabatnya.

Pernah melanjutkan pengajian di situ pada 1980-an dan kini bekerja di pasar raya di Christchurch, Noor Yahaya mencerita kepada AMIN RIDZUAN ISHAK apa yang masih bermain di fikirannya setelah tiga tahun peristiwa berdarah itu berlalu.

Allah sudah pilih hamba-Nya yang mati syahid: 

Allah beri peluang pada saya, dibuka pintu syurga pada masa itu tetapi saya lari. Begitulah saya diberi peluang tetapi saya sia-siakan.

Maksudnya Allah beri kita peluang (mati syahid). Hanya Allah yang tahu akan terjadinya serangan itu pada tarikh tersebut. Allah sudah pilih hamba-Nya yang mati syahid. Mereka adalah orang Islam yang terbaik. Dalam pada itu, Allah beri juga peluang pada yang lain untuk syahid, termasuk saya.

Sembunyi di belakang kereta, telefon abang:

Ketika kejadian, sewaktu tembakan masih kedengaran, saya telefon abang saya (di Malaysia) dan beritahu apa yang terjadi. Pada masa itu saya bersembunyi di belakang kereta di laman belakang masjid.

Saya beritahu abang saya kalau saya meninggal dunia hari itu, dia tahu saya berada di belakang masjid. Saya sudah bersedia untuk meninggal dunia pada waktu itu. Hendak lompat tembok tinggi enam kaki tidak lagi kuat. Manalah tahu tengah terkapai-kapai panjat tembok kena tembak pula.

Berubah selepas gempa di Christchurch 22 Februari:

Pada 2011 ada gempa bumi di sini. Selepas itu saya mula datang kerap ke masjid ini. Beberapa bulan selepas itu saya jatuh susah. Ketika itu saya menyewa rumah dan tuan rumah suruh saya keluar sebab dia hendak guna semula rumah itu.

Selepas gempa, berpuluh-puluh ribu rumah rosak dan terpaksa diroboh. Ramai tiada rumah dan sewa meningkat mendadak.

Saya tidak dapat menyewa rumah dan menumpang dalam bilik luar rumah sebesar garaj, boleh muat satu kereta. Anak-beranak duduk dalam itu. Masa itulah barulah tersedar kata-kata ‘sudah terhantuk baru terngadah’. Ketika susah baru saya sedar hendak mengadu pada Tuhan.

Amal soleh sahabat yang mati ditembak:

Saya selalu pergi masjid untuk mengaji dan solat. Itu saja yang kita boleh buat. Kalau Allah sayangkan kita, kita diberi ujian. Betul, bukan? Masa itulah saya mula rapat dengan ramai kawan-kawan (antaranya) yang mati syahid (akibat tembakan).

Amalan mereka mungkin biasa sahaja tetapi istiqamah dan buat setiap hari. Ada yang berjalan kaki dua kilometer sambil berzikir setiap hari pergi ke masjid. Datang ketika asar, selepas isyak baru balik. Nama kawan saya itu, Musa Awale (77 tahun) berasal dari Somalia.

Seorang lagi sahabat maut di hujung peluru:

Ada seorang lagi, (dia) berjalan jauh sedikit, kira-kira tiga kilometer walaupun sudah bertongkat. Kalau orang hendak tumpangkan dia naik kereta, dia tidak mahu; takut kurang pahala jalan kaki.

Sampai di masjid, dia mengaji surah-surah as-Sajdah, ad-Dukhan, ar-Rahman, al-Waqi’ah, Yaasiin dan al-Mulk. Saya ikut kata dia dan baca (surah-surah ini) setiap hari. Alhamdulillah, lapang rasa. Rupa-rupanya bahagia itu dalam hati.

Namanya Abdul Qader, juga orang Somalia. Dia meninggal dunia di saf depan dan tidak berganjak dari kerusi.

Remaja merangkak baca al-Fatihah temui ajal: 

Ada seorang remaja berusia dalam lingkungan 20-an, belum pandai mengaji dan baca al-Fatihah pun masih merangkak perlahan. Tetapi dia rajin belajar. Setiap subuh, walau sejuk macam mana sekalipun, dia naik basikal datang solat selain maghrib dan isyak.

Saya pula dapat datang subuh bukan pada hari bekerja. Anda lihat, kita kena berusaha untuk beramal soleh. Tetapi saya makin lama makin perlahan. Tidak cukup usaha lagi.

Masjid Al Noor bawa ketenangan:

Sebelum kejadian, memang saya kerap solat di situ, termasuk solat Jumaat. Pada 1980-an (ketika belajar) memang saya ke sini. Selepas datang balik (berhijrah) pada 1998, memang saya solat Jumaat di masjid ini.

Saya mula kerap solat maghrib (di Masjid Al Noor) dan kalau hari tidak bekerja, subuh juga (di masjid) sejak selepas gempa bumi. Saya rasa tenang dan gembira di masjid itu. Betullah kata Nabi, masjid itu adalah taman syurga.


KEJADIAN

Bandar: Christchurch, New Zealand

Lokasi (masa): Masjid Al Noor (1.40 petang) & Pusat Islam Linwood (1.52 petang)

Tarikh: 15 Mac 2019

Penembak siar secara langsung pembunuhan melalui Facebook dan rancang ke masjid ketiga sebelum ditangkap polis

SIAPA PENEMBAK

Nama: Brenton Harrison Tarrant

Umur: 28 tahun (waktu kejadian)

Asal: Grafton, New South Wales, Australia

Pindah: menetap di Teluk Andersons, Dunedin (360km selatan Christchurch) mulai 2017 dengan niat lakukan keganasan

Senjata api: dua rifel AR-15, senapang Mossberg 930, senapang Ranger 870, rifel .357 Magnum Uberti dan .223 Mossberg Predator. Lebih 7,000 peluru

Ditangkap: di Jalan Brougham, 20 minit selepas polis terima panggilan

Rancangan: tonton video media sosial keadaan di dalam Masjid Al Noor, selain guna dron tinjau persekitaran dan laluan masjid

Ideologi: pelampau perkauman kulit putih, percaya pada Teori Penggantian Besar kononnya etnik Eropah akan dikuasai umat Islam melalui penghijrahan

Lawatan: negara-negara Asia termasuk Malaysia dan Eropah antara 2014 hingga 2017. Mula berhubung dengan kumpulan pelampau di negara-negara Eropah selain komunikasi atas talian

SIAPA MANGSA

Jumlah: 51 orang termasuk empat wanita

Siapa: paling muda Mucad Ibrahim, 3, hingga paling tua Musa Nur Awale, 77, asal Somalia

Cedera: 40 orang

Warga Malaysia: Muhammad Haziq Mohd Tarmizi, 17, terbunuh. Tiga cedera, dua selamat

PERTUDUHAN & PENGHAKIMAN

Mahkamah Daerah Christchurch
16 Mac 2019

Pertuduhan awal: membunuh

Mahkamah Tinggi Christchurch
26 Mac 2020

92 pertuduhan: mengaku salah membunuh 51 orang, cubaan membunuh 40 orang lagi dan keganasan

Keputusan: 24-27 Ogos 2020

Hakim: Cameron Mander

Hukuman: penjara seumur hidup tanpa parol, hukuman tertinggi & kes terorisme pertama di New Zealand

Apa kata hakim: “Jenayah kau ini terlalu zalim, kalaupun kau dipenjara hingga mati, ia masih tidak memadai sebagai hukumannya.”

Di mana sekarang: Unit Banduan Berisiko Paling Tinggi, penjara Auckland yang memakan kos besar dengan 18 pengawal. Digelar “penjara di dalam penjara”

REAKSI

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (15 Mac 2019): 

Malaysia sangat-sangat kesal dengan kejadian lebih 40 orang maut ditembak ketika solat Jumaat di dua masjid di Christchurch. Kami berharap kerajaan New Zealand menangkap dan mengambil tindakan terhadap pengganas itu mengikut undang-undang.

Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern (27 Ogos 2020):

Trauma akibat 15 Mac tidak mudah sembuh tetapi hari ini saya berharap menjadi saat terakhir untuk kita mendengar atau menyebut nama pengganas. Dia layak (dihukum) selama-lamanya terasing sepi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (22 Mac 2019)

Tragedi menyayat hati di Christchurch yang meragut nyawa Muhammad Haziq satu titik hitam dalam sejarah kemanusiaan. Semoga Allahyarham dan 49 korban lagi ditempatkan bersama syuhada dan salehin. Takziah diucapkan kepada ahli keluarga.

Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim (15 Mac 2019)

Saya mengutuk sekeras-kerasnya serangan kejam dan mengerikan yang berlaku pada masjid di Christchurch, New Zealand.

SIASATAN LANJUT

26 November 2020: Suruhanjaya siasatan diraja (RCI) keluarkan laporan 800 halaman dengan 44 syor termasuk pemilikan senjata api, jenayah kebencian dan agensi keselamatan serta perisikan baharu

22 Februari 2022: koroner Brigitte Windley mulakan pendengaran inkues pada atas permohonan keluarga mangsa dan badan berkaitan bagi menjawab isu yang belum ditimbul dalam RCI dan keterangan mahkamah


Pengarang :