Jemaah haji melakukan tawaf Kaabah mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ketat susulan penularan Covid-19. Foto BERNAMA
AGENDAGLOBAL

Arab Saudi hanya benar sejuta jemaah tunai haji tahun ini

KUALA LUMPUR, 9 APRIL: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi (MoHU) mengumumkan jumlah jemaah haji yang dibenarkan bagi musim haji tahun ini 1443 Hijrah/2022 Masihi terhad kepada sejuta jemaah tempatan dan antarabangsa.

Menerusi kenyataan rasmi yang dikongsikan di laman Twitter hari ini, kementerian itu menyatakan jumlah jemaah antarabangsa untuk tahun ini akan mengikut kuota yang diperuntukkan kepada setiap negara berkenaan dengan mengambil kira pematuhan semua kriteria penjagaan kesihatan.

Kementerian menegaskan musim haji tahun ini terbuka kepada jemaah di bawah 65 tahun yang telah melengkapkan vaksin Covid-19 asas yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Saudi.

Menurut kenyataan itu, jemaah haji yang datang dari luar Saudi wajib menyerahkan keputusan negatif ujian PCR Covid-19 dalam tempoh 72 jam sebelum berlepas.

Kementerian turut mengingatkan keperluan jemaah haji untuk mematuhi langkah berjaga-jaga dan mengikuti semua arahan kesihatan semasa melaksanakan ibadah mereka.

Untuk rekod, tahun lepas Arab Saudi membenarkan hanya 60,000 jemaah domestik meliputi warganegaranya dan warga asing yang berada di negara itu untuk menunaikan haji.

-BERNAMA


Pengarang :