Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor Elina Baseri (dua, kiri) dan Pengarah Urusan Animonsta Studios Nizam Razak (kanan) pada majlis tayangan khas BoboiBoy Air pada 9 Jun 2022. Foto NORRASYIDAH ARSHAD/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASELANGOR

Air Selangor lancar episod BoboiBoy lawan raksasa sampah, didik lindungi sumber air

KUALA LUMPUR, 9 JUN: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) melancarkan episod keempat BoboiBoy bagi meningkatkan kesedaran pengguna mengenai penjagaan sumber air.

Animasi BoboiBoy itu adalah hasil kerjasama Air Selangor dengan syarikat animasi tempatan Animonsta Studios.

Ketua Komunikasi Korporat Elina Baseri berkata siri khas sempena sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia itu bakal ditayang Sabtu ini di laman sesawang dan YouTube Air Selangor.

“Episod kali ini membawa tema Selamatkan Sungai Kita. Ia menceritakan perjalanan BoBoiBoy ketika menentang raksasa sampah bagi memastikan sungai bebas dari sebarang pencemaran.

“Ia adalah kerjasama kali keempat antara Air Selangor dan Animonsta Studios ini sejak dilancarkan pada Jun tahun lalu bertujuan meningkatkan kesedaran betapa pentingnya penjagaan alam sekitar terutama sumber air dalam kalangan generasi muda,” katanya.

Beliau ditemui pada pelancaran episod keempat itu di Golden Screen Cinemas (GSC) Mid Valley Megamall hari ini.

Elina berkata tiga episod BoboiBoy sebelum ini iaitu Misi Khas BoboiBoy Air, Sertai Misi Khas BoboiBoy Air Sekarang dan Manfaat Air Hujan berjaya memperoleh lebih 7.7 juta tontonan.

“Kita harap episod kali ini akan terus mendapat sambutan dan mampu mendidik orang ramai supaya menjaga sumber air,” katanya.

Sementara itu, Pengarah urusan Animonsta Studios berkata setiap episod menyampaikan pesanan mengenai penjagaan sumber air dan cara menggunakannya dengan berhemah.

“Kita mahu pupuk kesedaran, tak mahu orang ramai membazir air. Harap usaha ini berkesan kerana memberi manfaat besar pada masa depan,” kata Nizam Razak.


Pengarang :