AGENSISELANGOR

Persidangan Wanita Selangor 23 Ogos, angkat tema cabaran hidup pascapandemik

SHAH ALAM, 6 JULAI: Wanita Berdaya Selangor (WBS) mengajak pemegang taruh berkongsi cadangan dan hasil penyelidikan bagi menjayakan Persidangan Wanita Selangor 2022 yang dijadual berlangsung pada 23 hingga 25 Ogos.

Agensi itu berkata persidangan kali kedua yang mengangkat tema ‘Cabaran Wanita Pasca Pandemik: Ke Arah Selangor Saksama, Sejahtera dan Inklusif’ adalah medium terbaik bagi meningkatkan kualiti dan kesejahteraan hidup wanita dalam mendepani pascapandemik.

“Walaupun kini negara memasuki fasa peralihan endemik, masih banyak isu dan cabaran yang dihadapi oleh masyarakat terutamnya wanita yang rata-ratanya masih belum pulih sepenuhnya disebabkan kemerosotan ekonomi dan kesihatan akibat pandemik.

“Justeru, persidangan kali adalah medium terbaik untuk berkongsi isu,cabaran, hasil penemuan penyelidikan oleh pemegang taruh,” katanya hari ini.

Ketika dihubungi, pihak penganjur berkata WBS akan memaklumkan lokasi persidangan dalam masa terdekat.

Tema persidangan kali ini berkisarkan tentang politik, ekonomi, kesihatan, sains dan teknologi, pengarusperdanaan gender, media, perubahan iklim, agama, bandar selamat, keusahawanan, pendidikan serta budaya dan Seni.

Abstrak dan kertas kerja perlu dihantar ke pautan https://www.wbselangor.com.my/persidangan/

Berikut adalah jadual penghantaran abstrak dan kertas kerja:

  •  Tarikh akhir penghantaran abstrak : 22 Julai
  •  Notis Pemakluman Abstrak: 3 Ogos
  •  Penghantaran Kertas Kerja Lengkap : 15 Ogos
  •  Tarikh Akhir Pembayaran : 19 Ogos

Sementara itu, pembayaran penyertaan hanya perlu dibuat sekiranya abstrak dipilih untuk pembentangan persidangan.

  •  Pembentangan Lisan
    Pelajar : RM50
    Organisasi/ Individu : RM 150
  • Pembentangan Poster
    Pelajar/ Organisasi/ Individu : RM 70

Pengarang :