AGENDA NASIONAL

Agong, permaisuri zahir ucapan takziah kepada keluarga Abdul Khalid

KUALA LUMPUR, 1 OGOS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang meninggal dunia, semalam.

Menerusi catatan di laman Facebook Istana Negara, Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin,” menurut catatan itu.

Abdul Khalid, 76, meninggal dunia pada 11.08 malam tadi di Hospital Cardiac Vascular Sentral, di sini dan berdasarkan hantaran di laman Facebooknya, Allahyarham dimasukkan ke hospital berkenaan sejak 23 April lepas akibat jangkitan pada injap jantung.

Beliau pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Bandar Tun Razak dari 2008 hingga 2018 serta memegang jawatan Menteri Besar Selangor dari 2008 hingga 2014.

Allahyarham, yang merupakan anak jati Jeram, Kuala Selangor, meninggalkan seorang isteri iaitu Puan Sri Salbiah Tunut, empat anak dan dua cucu.

– BERNAMA


Pengarang :