Graduan menghadiri majlis konvokesyen Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) kali ke-23 di Pusat Konvensyen KUIS, Kajang pada 1 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Gagal peperiksaan antara faktor lebih 42,000 mahasiswa tidak lanjut pengajian

PETALING JAYA, 4 OGOS: Lebih 42,000 pelajar institut pengajian tinggi (IPT) tidak menamatkan pengajian kerana beberapa faktor antaranya gagal dalam peperiksaan.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata pelbagai usaha dilaksanakan untuk membantu pelajar sehingga bergelar graduan sekali gus mengurangkan jumlah yang gagal menamatkan pengajian, laport portal Utusan Malaysia.

“Pada 2018 hingga 2019 seramai 42,000 lebih pelajar tidak tamat pengajian tetapi ada komposisi-komposisinya dan peratusan mereka tidak tamatkan pengajian yang paling tinggi adalah lebih kurang satu peratus apabila mereka tidak tamatkan disebabkan kegagalan.

“Tetapi kita pergi buat ‘engagement’ dengan memastikan mereka dapat terus pengajian,” katanya dalam Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Nasrullah Mohd. Nasir yang meminta penjelasan kerajaan berhubung punca pelajar tidak meneruskan pengajian di peringkat IPT.

Noraini memaklumkan Kementerian Pengajian Tinggi mempunyai program ‘Gap Year’ yang memberi peluang kepada pelajar yang tidak berhasrat meneruskan pengajian tetapi mahu terlibat dalam bidang perniagaan.

“Program ini dijalankan dalam jangka masa tertentu khususnya untuk pelajar meneroka pelbagai program dan kemudian boleh sambung semula, mereka hanya perlu beritahu kepada universiti sahaja untuk terlibat program ini,” katanya.

Menyentuh pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang kurang cemerlang, Noraini berkata, kerajaan membuka peluang kepada mereka meneruskan pengajian dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Katanya, Majlis TVET Negara diwujudkan untuk memastikan tiada pelajar tercicir dalam pelajaran dengan memastikan mereka diberi ruang dalam TVET.


Pengarang :