Ahli Dewan Negeri Kota Damansara Shatiri Mansor bersama pembeli menunjukkan kupon RM3 ketika meninjau program Jelajah Ehsan Rakyat di Jalan Nova U5/M, Kota Damansara, Petaling Jaya pada 20 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Ribuan warga Kota Damansara dapat kupon beli barangan asas murah

PETALING JAYA, 20 SEPT: Hampir RM5,000 diagihkan dalam bentuk kupon kepada warga Kota Damansara bagi membeli barangan asas menerusi program Jelajah Ehsan Rakyat.

Wakil rakyatnya Shatiri Mansor berkata inisiatif RM3 setiap satu yang dilaksana sejak minggu lalu meringankan beban lebih 1,500 penduduk membeli ayam, beras, ikan dan telur.

“Sejak minggu lalu, program diadakan di enam lokasi dengan lebih 1,500 penduduk dapat manfaat.

“Ayam dan telur mendapat permintaan tinggi tetapi kita terpaksa hadkan pembelian. Kita harap had ini dinaikkan kerana kebanyakan pembeli merupakan golongan berpendapatan rendah,” katanya.

Orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan asas pada harga murah ketika program Jelajah Ehsan Rakyat di Jalan Nova U5/M, Kota Damansara, Petaling Jaya pada 20 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Jualan sama turut diadakan serentak di pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat Sungai Air Tawar, Taman Arowawana Perdana Sungai Burong, Pekan Pasir Panjang dan Dewan Orang Ramai Kampung Seri Tiram Jaya Kuala Selangor.

Program mulai 9 pagi juga berlangsung di Flat Taman Nirwana Pandan Indah Flat Permai Ria Teratai, Surau Al-Mansuriah Semenyih dan Dewan Dato’ Hormat Kampung Seri Cheding, Kuala Langat.

Inisiatif jualan murah kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor dilancar sempena sambutan Hari Kemerdekaan peringkat negeri dengan peruntukan RM10 juta.

Bermula 6 September, ayam standard dijual pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan) dan ikan kembung atau selayang (RM6 per pek).

 


Pengarang :