Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menunjukkan ramalan ribut petir di 22 kerusi parlimen Selangor ketika proram santai di pasar malam Seksyen 18, Shah Alam pada 14 November 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Berkeras PRU musim banjir, MB gesa rakyat keluar undi hukum BN

OLEH ABDUL RAHIM SABRI

SHAH ALAM, 15 NOV: Rakyat negeri ini diingatkan untuk keluar mengundi pada 19 November sekalipun berdepan kemungkinan hujan, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata rakyat perlu menunaikan tanggungjawab untuk menghukum Barisan Nasional (BN) yang berkeras mahu mengadakan pilihan raya umum (PRU) segera.

“Kita sudah ada tanggungjawab, kita tidak ada pilihan. Rakyat kena buat pilihan dengan segera dan turun juga untuk menghukum kesalahan ini,” katanya kepada media semalam.

“Kita sepatutnya hendak galakkan demokrasi untuk rakyat turun mengundi dan sebagainya. Kita kena terlibat, takkan kita hendak benarkan mereka menang percuma.”

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan amanat kepada pengunjung dalam program Santai Bersama Dato’ Menteri Besar di pasar malam Seksyen 18, Shah Alam pada 14 November 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau mengulas ramalan cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia semalam bahawa semua kawasan parlimen di Selangor berdepan kemungkinan hujan sebelah petang hari mengundi.

Amirudin berkata rakyat harus bersemangat memilih dan membuat “keputusan dhamir yang jelas” terhadap tawaran Pakatan Harapan (HARAPAN), BN dan Perikatan Nasional termasuk calon perdana menteri.

“Bagi saya mereka harus tahu ada orang yang menyusahkan mereka untuk mengundi dengan memilih waktu yang tidak sesuai,” katanya, yang juga calon HARAPAN di Gombak.

Sebelum ini, Amirudin menyifatkan pembubaran Parlimen ketika musim banjir bagi mengadakan PRU15 satu kesilapan kerana menyebabkan mangsa terganggu.


Pengarang :