AGENDANASIONAL

Hujan berterusan, penduduk Taman Sri Muda dinasihat letak kenderaan di tempat tinggi

SHAH ALAM, 8 NOV: Penduduk di kawasan Taman Sri Muda dinasihatkan meletak kenderaan di kawasan tinggi selepas paras sungai meningkat akibat hujan lebat berterusan sejak petang tadi.

Pasukan Tindakan Segera (PANTAS) Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memaklumkan tempat letak kereta telah dibuka di Pasar Moden Sri Muda untuk kemudahan orang ramai.

“Sebarang kecemasan atau bantuan segera akibat banjir di Shah Alam sila hubungi Pasukan PANTAS di talian 03-55105811,” katanya menerusi Facebook.

Terdahulu Dato’ Menteri Besar berkata pihaknya sedang memantau paras air sungai yang meningkat susulan hujan lebat berterusan serta bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan beliau telah berhubung dengan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri Dato’ Haris Kasim berhubung perkara tersebut.

Pada 12 Oktober, Amirudin memaklumkan Kerajaan Negeri bersiap menghadapi kemungkinan banjir hujung tahun dengan tidak hanya tertumpu kepada sumber manusia sebaliknya meliputi peralatan menyelamat, kemudahan pusat penempatan sementara (PPS) dan pangkalan hadapan.

Bagi menghadapi risiko banjir, sebanyak 796 PPS yang boleh menampung 151,000 mangsa banjir diwarta.

Selain itu, sebanyak 164 bot selain lori dan pacuan empat roda turut ditempatkan di semua daerah manakala 15,972 petugas dari pelbagai agensi bersiap sedia untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat.


Pengarang :