Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Gombak Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra bersama pengundi ketika berkempen di Selayang Baru, Gombak pada 12 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Korban gaji ahli parlimen, bukti tekad Amirudin bela Gombak

GOMBAK, 15 NOV: Beberapa pengundi menyifatkan hasrat Dato’ Seri Amirudin Shari menderma gaji ahli parlimen Gombak membuktikan kesungguhannya menjaga kebajikan penduduk.

Penduduk Kampung Batu 8 di sini Zulkifli Maulut, 65, berkata pengorbanan calon Pakatan Harapan (HARAPAN) itu sangat dihargai dan berharap wang berkenaan dimanfaat untuk pembangunan masyarakat.

“Ia bukan semata-mata pengorbanan untuk rakyat tetapi perancangan teliti beliau menyelesaikan pelbagai isu belum selesai di Gombak terutama berkaitan pembangunan.

Zulkifli Maulut

“Saya percaya usaha itu permulaan untuk mengajak pelbagai pihak seperti syarikat swasta bagi bersama menyumbang kepada Dana Komuniti Gombak,” katanya.

Pengundi dari Selayang Baru Low Han Beng, 54, juga tertarik dengan tawaran Amirudin termasuk beberapa perancangan lain menerusi Deklarasi Gombak Bermaruah yang dilancar 10 November.

“Baguslah beliau mahu derma gaji dan tunjukkannya betul-betul mahu jaga rakyat. Saya suka cara beliau mahu bantu tingkat pendidikan, anak muda dan warga emas,” katanya.

Bagi G Ravi, 50, beliau sebagai anak jati Gombak berbangga jika Amirudin terpilih sebagai ahli parlimen kerana tahu pencapaiannya sebagai wakil rakyat Sungai Tua dan Dato’ Menteri Besar.

G Ravi

“Saya gembira beliau jadi calon (HARAPAN) sini, pada pendapat saya pelbagai tawarannya seperti derma gaji untuk pembangunan boleh diterima,” kata penduduk Batu 8 Gombak itu.

Sebelum ini, Amirudin memaklumkan tidak akan mengambil gaji sebagai ahli parlimen jika beliau kekal wakil rakyat Sungai Tua dan memegang jawatan dalam pentadbiran negeri.

Dibantu derma pihak swasta, gaji ahli parlimen tersebut akan diderma kepada Dana Komuniti Gombak bagi membantu masyarakat jika menang pilihan raya umum ke-15 pada 19 November ini.

Amirudin mencabar penyandang Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang mengalih sokongan hingga mengakibatkan kerajaan HARAPAN di Putrajaya tumbang pada Februari 2020.


Pengarang :