Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @Saleh. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Dua pengawal keselamatan ditahan, pukul lelaki hingga mati

BANTING, 19 JAN: Polis menahan dua pengawal keselamatan dipercayai memukul seorang lelaki sampai mati dalam pergaduhan berhampiran sebuah kedai runcit di sekitar Olak Lempit, di sini 11 Januari lepas.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata hasil siasatan mendapati pergaduhan tercetus apabila mangsa yang juga kelindan lori disyaki sedang mengedar dadah di kawasan berkenaan pada jam 10.45 malam.

Beliau berkata beberapa individu yang melihat perbuatan tersebut kemudian bertindak memukul mangsa yang berusia 24 tahun dengan objek tumpul sebelum kejadian itu dilaporkan kepada polis oleh orang awam yang menyaksikan pergaduhan tersebut.

“Sampai di tempat kejadian, polis menemukan sebuah beg dibawa oleh mangsa yang berisi 10 peket dadah jenis syabu seberat 3.93 gram dianggar bernilai RM2,000.

“Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang namun pada Isnin lepas, pihak hospital memaklumkan mangsa meninggal dunia jam 2.15 pagi akibat hentakan kuat pada bahagian kepala,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Ahmad Ridhwan berkata susulan itu, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat mencari suspek berkaitan kejadian dan berjaya menahan seorang lelaki di sekitar Banting pada jam 2.15 pagi, 13 Januari lepas diikuti seorang lagi lelaki di kawasan sama tiga hari kemudian.

Beliau berkata hasil semakan mendapati seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah.

Katanya kedua-dua pengawal keselamatan berusia 41 dan 31 tahun itu direman hingga Isnin ini untuk mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Pihak polis masih mencari suspek lain untuk membantu siasatan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :