Penganut agama Buddha melakukan upacara keagamaan di Tokong Kuan Yin, Georgetown di Pulau Pinang dan di Kuil Kwan Imm, Klang sempena sambutan Tahun Baharu Cina, hari ini. Foto Facebook Bernama
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Orang ramai dijemput ke rumah terbuka Tahun Baharu Cina negeri Sabtu ini

SHAH ALAM, 23 JAN: Orang ramai dijemput hadir memeriahkan sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina peringkat Selangor di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, di sini pada 28 Januari ini.

Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor memaklumkan program yang bermula jam 3.30 petang sehingga 10.30 malam itu turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung.

“Jom datang beramai-ramai memeriahkan sambutan rumah terbuka sempena perayaan Tahun Baru Cina peringkat negeri Selangor.

“Pelbagai aktiviti menarik disediakan iaitu bazar jualan, pertandingan kaligrafi, persembahan kebudayaan dan bengkel seni kebudayaan Cina,” katanya.

Pada 16 Januari lalu, EXCO Industri dan Perdagangan Dato’ Teng Chang Khim berkata pihaknya menyasarkan kehadiran 10,000 tetamu ke sambutan itu.

Program bertemakan ‘Musim Bunga Kembali ke Khatulistiwa’ itu turut menampilkan persembahan kebudayaan membabitkan 120 artis termasuk penyanyi bersuara soprano Evelyn Toh bermula 7 malam.

Persembahan itu dianjurkan di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam dan hanya melibatkan kira-kira 1,200 tetamu jemputan selain turut menyediakan layar di dataran untuk menghiburkan tetamu awam.

Dijangkakan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bersama Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin serta Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan berangkat ke majlis ini.


Pengarang :