Kakitangan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) membuat persiapan sebelum memulakan jualan barangan keperluan asas semasa program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Rawang di Dewan MPPK Kampung Melayu, Rawang pada 30 Januari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

PKPS permudah urusan penduduk berbelanja, dapatkan barangan asas murah

Oleh AZIAN AZIZ

RAWANG, 30 JAN: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) memberi kemudahan kepada orang ramai membuat pembelian ulangan pada program Jelajah Ehsan Rakyat di Kampung Melayu Pekan Rawang hari ini.

Pengurus Jualan dan Operasinya Izzul Fadhli Hamzah berkata pihaknya mengizinkan perkara itu agar semua 150 orang yang hadir boleh mendapatkan barang keperluan dalam program berkenaan.

“Program hari ini dijalankan pada hari bekerja dan walaupun jumlah yang hadir kurang tetapi ada antara mereka (yang bekerja) mewakilkan jiran untuk membeli barang dapur.

“Sebelum ini di lokasi lain pun kita benarkan ulang beratur dan selagi semua yang datang berpeluang untuk mendapatkan barangan ditawarkan,” katanya ketika dihubungi.

Izzul Fadhli berkata barangan yang habis dijual adalah 300 papan telur, 500 ayam dan 300 kampit beras manakala lokasi jualan pula ditutup pada 1.15 petang.

Inisiatif jualan murah kendalian PKPS diteruskan sejak 16 Januari hingga Mac ini dan antara produk ditawarkan ialah ayam standard (RM10 seekor), telur ayam gred B (RM10 sepapan), daging pejal segar (RM10 per pek), minyak masak 5kg (RM25), beras 5kg (RM10) dan ikan (RM6 per pek).


Pengarang :