BUDAYARENCANA

Cahaya pembinasa para pendeta

Oleh Arif Zulkifli

Ilustrasi FAHMI MUSTAFFA

 

Cahaya. Muzik. Khalayak.

Aku meresap segalanya. Deria menjadi seribu kali ganda lebih sensitif — kehangatan api jamung menguliti, dentuman dram dan dentangan keromong memacu jantung berdegup lebih laju, senandung daripada manusia berpenta-penta meremangkan bulu roma. Aku mereka, dan mereka aku.

Pentas di tengah-tengah ruang dipenuhi beberapa orang vicitra yang sedang galak menari — termasuk aku. Kain-kain berwarna terang membalut sekujur badan. Wajah kami digaris-garis dan dibintik-bintikkan dengan cat putih, tanda umum seorang vicitra. Tubuh badan kami meliuk-lentok, mengikut irama muzik. Sorak-sorai daripada khalayak vicitra lain yang ikut menari sekeliling pentas membuatkan aku lebih galak menari.

Gema muzik dan nyanyian meredam di dalam suaka ini. Seboleh-bolehnya tiada satu bunyi pun yang kami mahu menyusup keluar daripada ruang selamat ini. Jika mereka dapat tahu kami berkumpul beramai-ramai, dengan pakaian berwarna-warni dan tanda muka yang memenuhi, kami pasti akan ditangkap.

Kewujudan kami tidak diiktiraf di bumi Santah ini. Kami, kaum vicitra, akan sering dicemuh. Mereka di luar sana sungguh jijik dengan kewujudan kami, semuanya hanya kerana cara hidup kami tidak selari ajaran agama shamaka yang dibawa oleh Pendeta Cahaya, pembuka negeri ini. Kami dilayan seperti binatang, terutamanya oleh pendeta-pendeta mereka, sedangkan nenek moyang kami sudah beribu-ribu tahun lamanya bertapak di tanah emas ini — sebelum kedatangan Pendeta Cahaya lagi.

Tetapi tidak diiktiraf bukan bermakna tidak wujud. Kami belajar untuk mengasimilasi kehidupan kami dengan mereka. Kain-kain berwarna kesumba, nilakandi, zamrud, kuning mihir disorokkan di rumah, dan hanya warna-warna tanah sahaja yang membaluti batang tubuh. Tanda putih di muka, identiti kami, dipadam dengan berat hati setiap kali mahu keluar rumah. Di luar rumah, kami menjadi orang-orang yang biasa dan senada — semua hanya kerana hendak mengelakkan diri kami daripada ditangkap.

Gendang semakin kuat dipalu, celung-celang angklung melengkapi irama. Aku melihat orang-orang aku semuanya memasang senyum. Tiada satu kerisauan pun yang menyinggah pada wajah-wajah mereka. Kegembiraan mereka mengundang senyum aku.

Hari ini hari terakhir bulan Kala, bermakna kaum vicitra akan menyambut hari siluman — hari memperingati roh nenek moyang dengan tarian dan nyanyian puji-pujian.

Sedang aku galak menari, kesemua api jamung yang menerangi ruang kecil ini terpadam. Kegelapan menyelimuti. Muzik dan khalayak menjadi diam. Masing-masing menanti dalam gelap, dalam debar.

Pintu ruang ini tiba-tiba terbuka dengan luasnya. Pendeta-pendeta berjubah putih menyerbu masuk dan mengepung kami semua. Beberapa saat berlalu sebelum kaos menjelma. Keadaan menjadi riuh. Hiruk-pikuk kedengaran dengan jeritan ketakutan dilaungkan di sini sana. Aku cuba untuk keluar melalui pintu utama tetapi para pendeta sudah menghalanginya dengan tubuh-tubuh besar mereka.

Itu sahaja arah yang kami boleh keluar. Kami terkurung dengan pakaian warna-warni dan garis-titik putih kami.

“Semua jangan bergerak! Saya minta yang lelaki berkumpul di kanan dan yang perempuan berkumpul di kiri. Saya minta semua beri kerjasama kalau tak nak diapa-apakan!” Seorang pendeta lelaki — yang aku fikir adalah ketuanya — memberikan arahan.

Apa lagi yang kami boleh buat selain menurutinya?

Wajah-wajah bengis pendeta dan wajah-wajah ketakutan vicitra bersilih ganti memenuhi pandanganku.

Ruang yang gelap kini menjadi terang apabila cahaya putih berkemilau daripada badan para pendeta. Itu memang kelebihan yang mereka ada — kata mereka, cahaya itu dipinjamkan daripada tuhan-tuhan buat mereka yang terpilih untuk melindungi agama shamaka. Jika cahaya sering dikaitkan dengan rasa selamat kerana dapat membunuh kegelapan, cahaya daripada mereka ini langsung tidak memancarkan rasa itu. Kami menjadi lebih takut, lebih terancam.

“Kamu semua tahu kan apa yang kamu buat ni salah?” pendeta lelaki tadi mula bersuara semula setelah kami berkumpul. “Kamu semua berpakaian dengan warna-warna yang terang, siap dengan megah lagi bertanda putih di muka, ni semua dah melanggar apa yang agama suci shamaka telah bawa.”

Benarkah agama itu suci kalau penganutnya menyerang seorang vicitra hanya kerana dia melilitkan sehelai kain jingga pada lehernya? Benarkah agama itu suci kalau penganutnya menidakkan hak seseorang untuk meniaga atau membina rumah hanya kerana dia tidak menganuti ajaran yang sama? Benarkah agama itu suci kalau pendeta-pendetanya menggunakan kuasa mereka untuk menangkap orang-orang vicitra yang menyambut hari suci mereka di tempat tersorok tanpa mengganggu orang lain?

Sucikah agama yang seperti itu?

“Kamu semua perlu ikut kami ke huna untuk memberikan keterangan. Jangan risau, ini semua hanya tatacara biasa. Kami hanya mahu bertanya beberapa soalan dan kamu takkan diapa-apakan.” Pendeta lelaki itu mengangguk kepada para pendeta yang teguh berdiri mengelilingi kami dan mereka semua terus datang dan menggari tangan-tangan kami dengan rantai besi.

Ramai orang vicitra mula terasa gelisah dan beberapa orang yang enggan digari tangan mereka mencetuskan pergaduhan mulut kecil. Sebelum suasana menjadi lebih teruk, orang di sekeliling mendekati untuk menenangkan mereka.

Di bawah cahaya bulan, kami berjalan perlahan ke arah huna yang terletak beberapa batu dari sini. Gemerincing rantai besi bertingkah dengan keluhan kami. Pendeta-pendeta tadi mengiringi kami sambil menunggang kuda. Beberapa pendeta mencemek memandang ke arah kami.

“Kau semua nampak macam orang gila dengan cat putih di muka,” seorang pendeta bersuara sinis sebelum tawa meletus daripada beberapa rakannya yang lain.

“Sudahlah menari macam monyet.”

Lalu tawa dan ejekan bersilih ganti menghunjam hati kami.

Seorang wanita di sebelahku mengempang hiba. Air mata tidak henti-henti mengalir daripada kolam matanya. “Aku takut,” bilangnya perlahan.

Aku tidak sanggup lagi melihat kaumku diperlekehkan sebegitu. Aku tahu mereka takut, dan aku juga tahu kami tidak akan mampu melawan para pendeta yang mempunyai jumlah yang lebih ramai.

Tetapi aku tahu kami boleh meredamkan ejekan-ejekan mereka yang memburukkan kaum dan identiti kami. Lalu aku mula menyanyi lagu puji-pujian vicitra, yang diajarkan oleh ibu-ibu kami.

“Walau laut mengering,

Walau hutan terbakar,

Kan kami melangut tinggi,

Menjadi vicitra sejati.”

Beberapa orang mula ikut menyanyi.

“Walau matahari terpadam,

Walau bulan bertukar merah,

Selamanya kami,

Tetap bangga, tetap bangga.”

Dan kami menyanyi dengan kuat dan semangat, berulang-ulang, sehinggakan suara-suara kami yang tiba dahulu di huna, menyapa tuhan-tuhan mereka.

 


Pengarang :