BUDAYARENCANA

Menukar langsir

Oleh Lokman Hakim

Ilustrasi FAHMI MUSTAFFA

 

Lama sudah dia mahu menukar langsir. Yang tergantung lama berwarna putih sudah kelabu sarat debu. Dalam almari terlipat beberapa helaian baharu. Cuma dia enggan menukarnya atas sebab-sebab tertentu. Nostalgia membuatkan jendela biliknya kekal usang. Lalu dia berbincang dengan suami. Bagaimana?

Tukar sahajalah, apa masalahnya?

Tukar boleh tukar, bagaimana dengan pencahayaan tika siang? Akan suramkah kelak?

Suami merengus. Apa mahu gusar? Tukar dahulu baru tahu. Tak selesa kelak turunkan sahajalah. Bukan macam kena tunggu pilihan raya lima tahun sekali baru boleh tukar kerajaan. Tapi si isteri tetap ada kesangsian. Dia tahu kenapa langsir usang itu masih berada di jendela bilik itu. Cuma dia menafikan dan tidak berterus-terang pada sang suami.

Tapi… tapi… kita kena beli langsir baharu. Yang dalam almari itu baunya tak sedap. Bau ubat gegat kuat sangat. Bukannya baharu sangat pun langsir-langsirnya. Bukannya bla, bla, bla dan sang suami tahu si isteri sebenarnya sayangkan langsir usang yang tergantung itu. Tidaklah pula suami marah-marah. Faham sangat perangai isteri yang sering dalam dilema tika menentukan hal-hal sepele seperti tukar langsir itu. Layankan sahajalah. Bukan susah mana pun, fikir suami. Kalau beli langsir baharu dari Shopee atau Lazada, bukan mahal mana. Langsir sahaja pun, bukan kena beli rumah baharu.

Lalu si isteri menatal langsir-langsir di Shopee. Sambil itu diceritakan kriteria langsir yang dikehendaki: yang boleh tapis haba, boleh kawal kecerahan, tidak lekat debu, mudah dibasuh dan paling penting, harga mampu milik. Sang suami garu kepala. Bagi sahajalah isteri selesai pilih langsir di Shopee. Nanti bagi dekat sang suami untuk bayar guna kad debit. Kalau mahal sangat pulun sahajalah SPayLater. Bulan depan ulang tahun kelahiran si isteri. Bukan sekadar langsir sahaja nanti dibelikan tapi hadiah-hadiah lain.

Kata isteri, tak adalah langsir yang saya nak di Shopee. Payahlah sekarang ini banyak langsir sama sahaja. Warna lain-lain, fabrik murah. Kena debu nanti melekat. Bila gantung nanti susah nak tarik – lekat dekat cangkuk. Tak payah tukar langsirlah kalau begitu, ujar sang suami.

Tak boleh, kata isteri pula. Lima tahun sudah langsir tidak bertukar. Apa guna hiasan dalam bilik cantik-cantik dan ikut trend semasa tapi langsir kekal lusuh? Sang suami sedar dia harus berbuat sesuatu. Dia mula menaip di Google carian-carian melibatkan langsir. Langsir paling unik dan ditenun bersandarkan teknologi terkini. Lalu sang suami terfikir: relevan lagikah pakai langsir ini? Tak bolehkah pakai jendela kaca legap yang boleh laras?

Mengarut, ujar isteri. Nanti malam pastilah orang luar boleh nampak apa dalam rumah tanpa langsir. Tahulah orang kalau-kalau rumah ada orang atau tidak, sedang solat atau tengah tidur. Buka lampu, nampak jelas semua. Tak dapat lindung aib langsung. Kalau ada harta, nampak jelas boleh kena risiko samun.

Okay, okay, kita tukar langsir. Lupakan hal nak tukar kaca tingkap. Kena ada menteri ke depan hadap masalah baru serah pada kakitangan kerajaan bukan? Macam itulah, jawab isteri.

Kita tukar langsir ini, pakai warna apa? Pakai merah macam bendera Harapan pula, pakai biru macam bendera dacing, jadi warna apa? Hijau macam PAS? Hisy, usah politikal sangatlah sayang, kita pilih warna putih. Kalau ada masalah, boleh buat jadi bendera kibar luar rumah. Jiran-jiran tengok pun boleh tolong. Tahu kita ada masalah.

Tapi sekarang dekat Shopee atau Lazada tak ada langsir yang saya nak, gumam isteri. Lalu sang suami mengajak isteri keluar mencari langsir. Mungkin langsir yang terbaik perlu sedikit usaha mencarinya. Mungkin kena jumpa penenun langsir di ceruk-ceruk kampung yang enggan berkongsikan khidmat pembikinan langsir di media sosial.

Mereka bergerak sudahnya. Sempat dikerling jendela rumah yang jelas tidak kelihatan langsung langsir-langsir usang yang tersorok di balik kaca legap. Nah, sudahnya sang suami rasa langsir tidak begitu penting. Bagaimana malam nanti? Tingkah isteri. Iya, iya, kita terus cari langsir.

Dalam kereta suami memandu, tak sempatlah nak tatal telefon bimbit. Isteri pula Google tempat jual langsir tercantik. Telefon kawan sana, telefon saudara sini minta cadangan. Pusing punya pusing masih buntu. Singgah pula dekat Starbucks. Teguk kopi dan teh sambil bincang tempat nak dituju. Hari ini juga, kata isteri. Malam ini dah tak boleh dah hadap langsir lusuh. Sakit mata, sakit hati.

Lalu bagaimana? Penggera berbunyi. Ada penceroboh pula. Ewah, berani sungguh petang pun tak habis, sudah pecah masuk rumah orang. Jiran hantar gambar. Tingkap bilik sudah pecah. Ada bola besbol melayang masuk. Anak jiran nak belajar besbol ala Amerika katanya.

Sang suami tepuk dahi. Isteri membebel. Nak tukar tingkap tak sempat pula, jam dah lewat lepas pukul 6 petang. Balik ke rumah, sang suami keluarkan dari stor, bendera-bendera parti politik yang patut digantung di jalanan ikut kontrak. Kaca serpih tingkap dibersih. Langsir lusuh kekal tergantung.

Maghrib menjelang. Bendera-bendera parti sudah direntang di luar jeriji tingkap yang pecah. Semua parti pun ada, dilapis-lapis pasangnya. Eloklah juga walau hodoh dilihat dari luar. Asalkan tingkap yang pecah tak nampak dari jalanan. Asalkan mazhab politik penghuni rumah tak diketahui orang.

Jadi esoknya kita nak tukar langsir apa nanti? Tanya suami selesai solat Maghrib. Si isteri menjebik memikir sang suami yang tak ada common sense sampai ke sudah. Angin menderu. Hujan akan melebat. Mereka berdoa agar air hujan tak tembus tingkap yang pecah malam itu.


Pengarang :