Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri menyampaikan Bantuan Selangor Bangkit kepada Rahimah Mad Din di Dewan Orang Ramai, Kampung Teluk Nipah, Pulau Indah pada 12 Januari 2022. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Pendaftaran skim warga emas DUN Pelabuhan Klang meningkat, ramai mahu manfaatkan baucar RM150

KLANG, 4 FEB: Pendaftaran ahli Skim Mesra Usia Emas (SMUE) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang meningkat sejak awal tahun ini.

Wakil rakyatnya Azmizam Zaman Huri berkata peningkatan susulan pertambahan nilai baucar dari RM100 kepada RM150 seorang.

“Setiap Isnin hingga Jumaat ramai warga emas datang ke pusat khidmat untuk mendaftar sebagai ahli. Dalam tempoh tiga hari, kita pernah terima hampir 1,000 pendaftaran.

“Bagaimanapun semua permohonan akan disemak dan diteliti kerana ada yang tidak menepati syarat antaranya tinggal di Selangor kurang dari tempoh ditetapkan,” katanya kepada Selangorkini.

Mulai tahun ini nilai baucar SMUE ditambah kepada RM150 dan jumlah sama turut diberi kepada peserta Skim Mesra Insan Istimewa (SMIS) melibatkan peruntukan RM37.5 juta.

Had kelayakan pendapatan isi rumah penerima baucar Jom Shopping juga ditingkatkan daripada RM2,000 kepada RM3,000 sebulan.

Sebelum ini, peserta skim menerima baucar beli-belah RM100 di pasar raya terpilih pada bulan kelahiran mereka yang dibuat melalui pusat khidmat masyarakat.


Pengarang :