Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Rumah Idaman Kwasa Damansara di Kwasa Damansara, Shah Alam pada 17 Februari 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pengosongan kerusi DUN Batang Kali ikut peraturan dewan

SHAH ALAM, 17 FEB: Keputusan Dewan Negeri Selangor (DNS) mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali dibuat berdasarkan undang-undang tubuh dan peraturan tetap negeri.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata mengikut enakmen serta peraturan DNS, mana-mana Ahli Dewan Negeri (ADN) yang tidak hadir enam bulan berturut-turut tanpa sebab boleh dilucutkan.

“Speaker (Ng Suee Lim) sudah teliti segala enakmen, undang-undang tubuh dan peraturan tetap dewan. Jadi kita ikut (ketetapan) undang-undang.

“Saya rasa pihak terbabit boleh ambil tindakan susulan jika rasa teraniaya. Setakat ini keputusan DNS muktamad jadi dia (bekas ADN) boleh dapatkan balik perjanjian jika mahu bawa ke mahkamah atau sebagainya. Itu hak beliau,” katanya.

Wakil rakyat Sungai Tua berkata Suee Lim hanya menjalankan tugas mengikut tanggungjawab yang digalas.

“Dia gagal maklumkan secara munasabah sebab tidak hadir enam bulan dan ini automatik. Contoh kalau sakit tunjukkan sijil sakit dari doktor. Kalau ke luar negara, kena ada data dan maklumat.

“Perlu hadir ke dewan kerana kita jadi penggubal undang-undang negeri. Itu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan,” katanya.

Semalam Suee Lim mengisytiharkan kerusi DUN Batang Kali kosong berikutan kegagalan Harumaini Omar hadir ke sidang DNS lebih enam bulan tanpa sebab.

Keputusan berkuat kuasa 28 Januari dibuat selepas Harumaini tidak hadir tanpa kebenaran pada keseluruhan sidang DNS November tahun lalu.

Tarikh akhir kehadiran wakil rakyat terbabit ke persidangan pada 27 Julai 2022, berdasarkan rekod penyata rasmi dan buku kehadiran.


Pengarang :