BUDAYARENCANA

Seni menikmati buku

Oleh Johan Radzi

Ilustrasi Fahmu Mustaffa

 

Menjelang tahun baru, kita melihat rekod bacaan kita dengan hati yang gundah-gelana. Masih berbaki lima buah buku, mungkin enam, yang belum sempat kuhabiskan sebelum 2023 menyingsing fajarnya. Kita merasa hampa, bahkan gagal, kerana tidak dapat menyempurnakan senarai seperti yang kita azamkan di awal tahun lalu: iaitu untuk menghabiskan sejumlah x buku setahun. Tanpa kompromi, tanpa gagal.

Tetapi haruskah aktiviti seperti pembacaan harus terus terikat dengan senarai-senarai seperti di Goodreads?

Sewaktu awal mengenali buku dan nafsu membaca membuak-buak, saya rakus mengemas kini perihal buku-buku yang telah diladeni di daftar isi. Saya bandingkan pembacaan saya secara tahunan, terutama jumlah buku yang saya ramasi dan merasa bangga sekiranya angka tersebut mempamerkan angka meningkat. Lebih banyak buku, lebih bijaksanalah saya, fikir saya kebodoh-bodohan dulu. Jadi saya memborong buku-buku dari Big Bad Wolf, dari toko-toko buku terpakai, atau meminjam dari pustaka atau rakan; dan cuba untuk menghabiskan seberapa banyak buku yang boleh dalam masa yang singkat. Ini semata-mata untuk mengejar angka-angka Goodreads seperti budak sekolah yang terpasung dek projek nilamnya.

Malah, saya juga turut mengikuti rapat senarai-senarai yang terpampang di New York Times, The Paris Review, Utusan Mingguan, karya-karya sasterawan Nobel, sasterawan negara, pengarang-pengarang prolifik dan yang dikata mencipta magnus opus… juga senarai 500 buku yang anda perlu baca sebelum anda bertemu liang lahad (langsung tak mengambil kira bahawa keperluan intelektual dan rohani seseorang berbeza menurut masa dan keadaan). Mereka bilang saya perlu membaca Orwell, Tolstoy, Seneca, Quixote, Pramoedya Ananta Toer, Usman Awang, dan seangkatan kerana saya ingin menjadi seorang pembaca. Saya perlu membaca buku-buku ini supaya saya tidak ketinggalan, atau terlepas daripada percikan kebijaksanaan umat homosapien.

Menambah buku-buku ini di dalam senarai telah dibaca, atau menyiarkan ia di laman medsos membuat saya merasa kelihatan berbudaya dan terpelajar, dan di sudut hati saya merasa bangga kerana telah bersenggama minda dengan tokoh-tokoh mahsyur itu.

Tetapi entah kenapa, di sedang perjalanan itu saya merasa lelah, dan semangat tersebut luntur: saya tak berahi untuk membaca lagi. Untuk suatu tempoh saya langsung tidak menyentuh mana-mana buku. Novel-novel Murakami terbiar berhabuk di rak, esei-esei Salleh Ben Joned tergeletak di lantai, dan puisi-puisi Jorge Luis Borges terjatuh entah di celah sofa mana, meramahi lipas dan debu di dimensi yang ghaib.

Saya mengutip buku semula beberapa waktu terkemudian, ketika wabak Covid-19 merempuh dunia dua tahun lalu dan menjadikan kita semua tawanan di rumah masing-masing (mungkin hikmah di sebalik pandemi sejagat: tanpa menolak angka korban yang dahsyat serta luka-luka kepada jutaan keluarga, musim pandemi ini mungkin satu-satunya senjang masa untuk kita benar-benar beristirahat di rumah dan bertafakur tentang nasib dan keadaan, serta diri).

Tidak terkejar-kejar

Saya memulakannya dengan santai, tanpa perlu terkejar-kejar untuk menghabiskan buku seperti lazim. Saya memilih judul yang saya ingin baca pada waktu itu, bukannya seperti yang disyorkan oleh orang-orang asing di laman sesawang: i) The Sorrow of War oleh Ba Ninh yang melukis gambaran pengalaman-pengalaman pahit pasca Perang Amerika Syarikat – Vietnam di tahun 1955 (minat ini pun bertunas sepulangan saya dari negara-negara Indochina); dan ii) Hunger: An Unnatural History oleh Sharman Russel yang memerihalkan konsep berpuasa dari zaman batu sehingga ke zaman moden (kerana saya sedang cuba mengekang diri daripada makan berlebihan dan mengurangi berat badan).

Membaca, saya fikir, harus berjalan seiring dengan usia. Manusia bukanlah suatu objek kaku yang harus disumbatkan data-data, sebaliknya ia adalah suatu hidupan yang berinteraksi dengan objek-objek dan lingkungan. Ia tumbuh dengan pengalaman, pemerhatian, pelajaran, serta keadaan-keadaan sekeliling yang memungkinkan ia berkembang matang. Justeru, membaca juga harus begitu: ia tak harus merasa seperti terpaksa, sebaliknya ia harus hadir di dalam jiwa secara alami. Memaksakan diri membaca karya-karya yang tidak cocok dengan diri atau keperluan sewaktu hanya akan menjadikan ia suatu pekerjaan yang leceh dan menyebalkan. Tiada siapa suka belajar tentang sesuatu yang ia tidak ingin pelajari, hanya kerana beberapa orang dewasa sarankan bahawa ia bagus (baca: matematik tambahan).

Saya juga melakukan proses saringan bacaan. Shahnon Ahmad mungkin seorang sasterawan yang menghasilkan puluhan cerpen bermutu, tetapi karyanya Shit memang tampil seperti judulnya sendiri – seketul tahi yang tiada bergizi. Saya tidak pernah jumpa waima seorang yang tergamak habiskan buku yang disebut kontroversial itu.

Karya klasik

Malahan J.M. Coetzee juga mungkin diangkat sebagai juara Sastera Nobel di tahun 2003, tetapi novelnya Waiting for the Barbarians terasa begitu lesu untuk dihabiskan meskipun sudah berkali-kali dicuba. Pelajaran nombor satu: tak semestinya semua karya daripada seorang pengarang ternama itu menjanjikan mutu yang sama. Adakalanya tak bererti pun, dan tidak salah jika kita abaikannya untuk membaca karya-karya lain. Melainkan, sudah tentu, anda seorang mahasiswa jurusan sastera dan anda diperintah oleh pensyarah anda untuk menyiapkan tesis berkaitan pengarang tersebut. Tetapi berapa banyak sajalah antara kita yang terbeban dengan tanggungjawab sasterawi serupa itu?

Seperkara lagi, saya belajar untuk membaca dengan lebih santai. Ini penting apalagi jika kita menggulati karya-karya klasik yang terkandung mutiara-mutiara berharga merentasi zaman. Thus Spoke Zarathustra oleh Friedrich Nietzsche memerlukan bacaan yang tekun, dan menuntut kita untuk merenung jauh ke dalam sabda-sabda sang nabi yang turun dari pergunungan. Pesan-pesan beliau tentang kelahiran Ubermensch serta kebobrokan zaman moden bukanlah seperti bertih jagung yang kita hanya telan sekali kunyah, tetapi perlu dihadam selumat-lumatnya untuk merungkai maksud-maksud yang dihasratkan. The Temple of the Golden Pavilion oleh Yukio Mishima pula sarat dengan zen buddhisme, estetika timur, serta keghairahan seorang biarawan dengan kemusnahan api. Tidak salah jika anda membaca lambat, bahkan ia lebih disyorkan. Ambillah seberapa banyak masa yang anda perlukan. Membaca bukanlah suatu perlumbaan, tetapi suatu proses dialektika di antara diri dan sejambak gagasan.

Kali ini saya sudah tak terikat lagi dengan senarai yang saya aturkan di Goodreads, mahupun saranan-saranan daripada entah siapa. Bahkan akaun Goodreads saya sendiri juga sudah lama tidak dijenguk kerana terlupa kata laluan. Mungkin itu lebih afdal. Saya ingin pengalaman membaca saya berkembang organik: iaitu tumbuh selari dengan keperluan serta keadaan saya di suatu-suatu masa. Dan tiada salahnya jika kita tak membaca banyak atau buku-buku spesifik seperti yang disebut-sebut orang, kerana buku akhirnya harus menyumbang kepada pendewasaan kita sebagai manusia per se, bukannya orang-orang lain, dan semestinya bukan objek-objek yang kita susuni di rumah sebagai pameran ego. Meminjam Frank Zappa, “begitu banyak buku, begitu terbatas masa.”

 


Pengarang :