Pemain Selangor FC meraikan kemenangan selepas membelasah Kuching City 5-0 dalam aksi kedua Liga Super di Stadium Negeri Sarawak pada 2 Mac 2023. Foto Facebook Selangor FC
AGENDANASIONAL

Liga Super: Selangor pesta gol, belasah Kucing City 5-0

SHAH ALAM, 2 FEB: Selangor FC membelasah Kuching City 5-0 dalam aksi kedua di Stadium Negeri Sarawak sebentar tadi sekali gus melonjak ke tangga kedua Liga Super.

Pemain tengah import dari Jordan Noor Al-Rawabdeh membuka tirai jaringan seawal minit keempat dengan menampan masuk hantaran leret Hein Htet Aung dari sebelah kanan.

Dua minit berselang, tuan rumah hampir menyamakan kedudukan namun rembatan jarak jauh kaptennya Adam Shreen Tambi sekadar hinggap di palang gol Selangor yang dikawal Khairulazhan Khalid, lapor Berita Harian.

Pemain Selangor FC melepasi pertahanan Kuching City dalam aksi kedua Liga Super di Stadium Negeri Sarawak pada 2 Mac 2023. Foto Facebook Selangor FC

Penyerang Ayron Del Valle tidak menunggu lama untuk mencetak gol sulungnya bersama Gergasi Merah apabila menambah gol kedua buat pasukan kendalian Tan Cheng Hoe pada minit kesembilan.

Al-Rawabdeh sekali lagi mencuri tumpuan apabila melebarkan jaringan tiga minit selepas rehat menerusi rembatan leretnya hasil lorongan Faisal Halim menggegar jaring sebelah kiri pintu gol Kuching.

Jurang permainan antara kedua-dua pasukan terus melebar apabila kapten Selangor, Brendan Gan menokok gol keempat pada minit ke-65.

Anak buah Cheng Hoe terus berpesta gol apabila penyerang gantian Danial Asri melengkapkan kemenangan besar di gelanggang lawan dengan gol kelima pada minit ke-73.

Selangor akan bertemu Sri Pahang pada perlawanan ketiga Ahad ini manakala Kuching City sekali lagi menjadi tuan rumah melayan kunjungan pendahulu liga Sabah pada Isnin.

Pemain Selangor FC meraikan kemenangan selepas membelasah Kuching City 5-0 dalam aksi kedua Liga Super di Stadium Negeri Sarawak pada 2 Mac 2023. Foto Facebook Selangor FC

Pengarang :