Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika program Iftar Rapat Rahmah Ramadan bersama penjawat awam di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 31 Mac 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Cakna kebajikan, insentif khas Aidilfitri sangat bermakna

SHAH ALAM, 31 MAC: Insentif khas sebulan gaji atau minimum RM1,000 menggembirakan penjawat awam di Selangor menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Kakitangan awam, Julaiha Jamaluddin bersyukur dengan bantuan khas kewangan yang diumum Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari semalam.

Julaiha Jamaluddin. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI

Beliau yang sudah tujuh tahun berkhidmat sebagai penjawat awam negeri menyifatkan Insentif Khas Aidilfitri Kita Selangor memudahkan persiapan menyambut lebaran tidak lama lagi.

“Saya percaya ini satu berita yang sangat menggembirakan (penjawat awam), tambahan pula bayaran tersebut akan dibuat pada 21 April betul-betul sehari sebelum raya.

“Saya boleh guna bantuan ini untuk beli kelengkapan raya, tidaklah terlalu mewah tetapi bersederhana kerana insya-Allah kalini lebih meriah berbanding sebelum ini yang terikat dengan tatacara operasi piawai (SOP) pandemik.

“Mungkin juga dalam kalangan kami kakitangan awam boleh beri duit raya lebih kepada ibu bapa, keluarga dan anak-anak,” katanya yang kini berkhidmat sebagai Setiausaha Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Khairul Azam Saroni. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI

Sementara itu, kakitangan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) Khairul Azam Saroni berkata bantuan tersebut bukti keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap penjawat awam.

“Sudah tentu pengumuman bantuan ini sangat bermakna dan paling dinanti-nantikan penjawat awam.

“Ia sedikit sebanyak meringankan beban penjawat awam memandangkan banyak perbelanjaan diperlukan menyambut Hari Raya.

“Saya berterima kasih dan menghargai insentif ini. Kerajaan Selangor tidak pernah mengabaikan kebajikan penjawat awam,” katanya.

Terdahulu, Amirudin mengumumkan bantuan khas kewangan kepada penjawat awam pada Rapat Rahmah Ramadan dan Majlis Berbuka Puasa di Bangunan Sultan Abdul Aziz di sini.

Pemberian Insentif Khas Aidilfitri Kita Selangor sebulan gaji atau minimum RM1,000 akan dibayar ke akaun masing-masing selewat-lewatnya pada 21 April.


Pengarang :