AGENDANASIONAL

Kanak-kanak perempuan ditemukan lemas dalam kolam taman tema di Banting

SHAH ALAM, 10 JUN: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun ditemukan lemas di dalam kolam sebuah taman tema air di Banting dekat sini, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata kejadian berlaku pada pukul 1.28 tengah hari selepas orang awam menjumpai mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam kolam tersebut.

“Kejadian berlaku semasa mangsa bersama kakaknya berusia 8 tahun sedang bermain air di sebuah kolam, bapa mangsa kemudian dimaklumkan oleh orang awam bahawa salah seorang anak perempuannya telah tidak sedarkan diri.

Mangsa kemudian telah dibawa ambulans ke Hospital Banting dan pihak hospital mengesahkan punca kematian adalah disebabkan lemas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan dengan itu, Ahmad Ridhwan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 33 Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611).

Beliau turut memberi peringatan kepada orang awam khususnya ibu bapa dan penjaga supaya tidak membiarkan kanak-kanak di bawah jagaan masing-masing tanpa pengawasan yang berpatutan untuk mengelakkan berlakunya sebarang tragedi yang tidak diingini.

– BERNAMA


Pengarang :