AGENDAJENAYAH

Lelaki cederakan pemandu wanita dengan topi keledar ditahan

BALIK PULAU, 10 JUN: Polis menahan seorang lelaki yang memukul pemandu wanita menggunakan topi keledar dalam kejadian di Jalan Permatang Damar Laut, di sini pada Khamis yang video insiden itu tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Kamarul Rizal Jenal berkata suspek berusia 32 tahun yang merupakan penunggang motosikal itu ditahan semalam bagi membantu siasatan kes tersebut.

“Siasatan awal mendapati lelaki itu tidak berpuas hati dengan wanita itu yang memandu kereta sehingga menyebabkan kemalangan dan telah mendorong suspek mencederakan wanita itu dengan topi keledar.

“Lelaki itu direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau turut meminta kerjasama orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya menerusi talian 04-8662222.

Terdahulu tular video berdurasi 14 saat memaparkan seorang penunggang motosikal bertindak kasar sebelum memukul pemandu wanita dengan topi keledar.

– BERNAMA


Pengarang :