Oleh Diana Abd Wahab
PETALING JAYA, 6 JUN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memperketatkan penguatkuasaan untuk mengatasi isu pembiakan pokok kiambang di dua tasik di Kelana Jaya.
Datuk Bandarnya Mohamad Azhan Md Amir berkata tindakan kompaun akan dikenakan kepada individu tidak bertanggungjawab yang membuang tumbuhan tersebut ke dalam tasik.
Katanya, sistem TV litar tertutup (CCTV) turut dipasang di Tasik Komuniti berhampiran bangunan Glomac dan Tasik Bandaran berdekatan Stadium MBPJ.
“Kita perlu kekang pembiakan pokok kiambang bagi mengelak perkara tidak diingini yang boleh membahayakan keselamatan pengunjung terutama kanak-kanak sekiranya beriadah berhampiran tasik.
“Pokok Kiambang yang memenuhi dua tasik terbabit boleh membahayakan pengunjung kerana dari jauh ia kelihatan seperti padang yang menghijau,” katanya.
Beliau ditemui selepas Majlis Pelancaran Buku Pelan Induk Landskap Petaling Jaya (PiLAN PJ) di The Spine @ PJKita di Jalan SS7/15, Kelana Jaya di sini, hari ini.
PiLAN PJ adalah dokumen perancangan landskap dan pelan tindakan bagi tempoh lima tahun untuk mewujudkan persekitaran indah, selesa, selamat dan sejahtera di Petaling Jaya.
