AGENDANASIONAL

Skim perubatan beri kemudahan B40 dapat rawatan di klinik swasta dilancar bulan ini

SHAH ALAM, 6 JUN: Skim Perubatan Madani yang memberi kemudahan kepada golongan B40 mendapatkan rawatan kesihatan di klinik serta pengamal perubatan am dan swasta dilancar bulan ini.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata ia setelah sesi libat urus dengan pelbagai pihak seperti klinik swasta selesai.

“Kita akan mulakan segera, sekarang sudah di peringkat akhir, libat urus termasuk dengan klinik swasta juga telah dilakukan dan kita akan melakukan pelancarannya dalam Jun ini juga,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kuala Langat Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi yang ingin tahu mengenai perkembangan Skim Perubatan Madani.

Menerusi Belanjawan 2023 Skim Perubatan Madani diperkenalkan dengan peruntukan RM120 juta merupakan kemudahan ‘kredit’ untuk golongan B40 berjumpa dengan pegawai perubatan am di klinik swasta tanpa perlu ke Jabatan Kecemasan hospital kerajaan.

Ia antara langkah kerajaan untuk mengurangkan kesesakan dan waktu menunggu pesakit di hospital.

Selain itu, Dr Zaliha berkata penubuhan Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (STAR) bertujuan untuk mengurangkan kesesakan di Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital Kementerian Kesihatan menunjukkan keberkesanan.

“Melalui inisiatif ini, satu projek rintis melibatkan kluster hospital dan klinik kesihatan dilaksanakan menerusi penyuraian pesakit bergejala ringan dan bukan kes kecemasan ke klinik kesihatan berdekatan yang dilanjutkan waktu operasi untuk tempoh tiga bulan.

“Perkhidmatan dilanjutkan operasi di Klinik Kesihatan Bandar Botanik (Klang) yang bermula sejak 2015 dipanjangkan termasuk Sabtu, Ahad dan cuti umum bermula dari 25 Mac bagi menangani kesesakan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

“Projek rintis STAR menunjukkan keberkesanan dengan purata penurunan bulanan kedatangan pesakit ke zon hijau dalam tempoh tiga bulan dari Februari hingga April lalu adalah sebanyak 30.6 peratus,” katanya.


Pengarang :