Orang ramai mengunjungi Perpustakaan Awam Selangor daerah Sabak Bernam di Jalan Pejabat Daerah Sungai Besar, Sabak Bernam pada 9 Jun 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Selangor budaya pustaka untuk semua, sedia banyak kemudahan

SABAK BERNAM, 9 JUN: Selangor membudaya perpustakaan sebagai gedung ilmu dengan pelbagai kemudahan untuk semua, sekali gus menyokong agenda pembangunan negeri berlandaskan pengetahuan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha tersebut dibuat untuk meningkatkan pandangan atau persepsi orang ramai terhadap pustaka dan menggalakkan lebih banyak kehadiran.

“Mungkin ada yang sinikal kita buat (penjenamaan semula) hanya untuk projek saja, tukar cat dan sebagainya. Ini salah satu pendekatan untuk meningkatkan ‘pandangan’ orang kepada perpustakaan.

“Kalau sebelum ini perpustakaan dilihat sebagai tempat untuk ulat buku atau antisosial tetapi dengan pendekatan yang digembleng sejak 2010, kita jadikan perpustakaan untuk semua,” katanya.

Berucap sempena perasmian penjenamaan semula Perpustakaan Awam Selangor Daerah Sabak Bernam hari ini, Amirudin berkata ia dilengkapi bilik untuk menyusu dan ruang keluarga khas buat kanak-kanak.

Beliau menambah tempat anak-anak meneroka pengetahuan baharu secara dalam talian selain kandungan buku daripada santai hingga serius turut disediakan kepada pengunjung.

 


Pengarang :