Orang ramai mendengar Daurah Afkar Ihya Ulumuddin karya Imam al-Ghazali disampaikan oleh bekas Mufti Besar Mesir, Prof Dr Ali Jum’ah ketika Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 21 Mei 2023 . Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Junjung titah Sultan, Jais pantau pastikan masjid bukan pentas politik

OLEH ABDUL RAHIM SABRI

SHAH ALAM, 21 JULAI: Menjunjung titah Sultan Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memantau kegiatan politik di masjid dan surau khususnya menjelang pilihan raya negeri (PRN) yang bermula 29 Julai ini.

Pengarahnya Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad mengingatkan pentadbir pusat ibadah itu agar memantau dan menguatkuasakan larangan supaya ia tidak dijadikan medan berpolitik dan pusat propaganda kepartian.

Jabatan itu mendapati pentadbir masih mengambil ringan dengan membiarkan tokoh-tokoh politik menggunakan masjid atau surau untuk tujuan politik menjelang pilihan raya, selain penyebaran bahan berunsur politik.

“(Tindakan) ini suatu perbuatan yang jelas telah melanggar ketetapan yang dibuat oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais) bagi mengekalkan masjid atau surau sebagai zon aman dan bebas daripada sebarang elemen dan pengaruh politik kepartian,” katanya dalam kenyataan pada 13 Julai.

Mohd Shahzihan menegaskan Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj telah bertitah sejak 2018 lagi agar masjid dan surau menjadi tempat ibadat yang sejahtera dan tidak dipolitikkan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad ditemu bual di pejabatnya di Shah Alam pada 23 Jun 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Baginda juga sentiasa mengingatkan kepada semua pihak termasuklah kepada pentadbir masjid atau surau ketika Istiadat Penyampaian Watikah Nazir dan Imam Masjid Seluruh Negeri Selangor pada 2 Mac 2023 di Istana Alam Shah, Klang,” katanya lagi.

Selain itu, kata pengarah Jais, Baginda telah bertitah kepada semua ahli politik berhubung perkara yang sama ketika Istiadat Pembukaan Persidangan Dewan Negeri Selangor pada 13 Mac (lihat titah Sultan Selangor: Bukan medan propaganda parti).

“Sebarang tindakan yang bersifat menghina atau mengingkari, melanggar atau mempertikaikan titah DYMM Sultan Selangor atau arahan Mais, boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 12 (a) atau (b) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995,” katanya.

“Pegawai masjid juga boleh dalam masa yang sama dibatalkan pelantikannya oleh Mais berdasarkan Peraturan 7 (f), Peraturan-Peraturan Masjid dan Surau (Negeri Selangor) 2017.”

Dalam wawancara dengan Selangorkini pada 23 Jun, Mohd Shahzihan menegaskan pentingnya masjid dan surau dijadikan tempat perpaduan umat Islam dan jauh daripada persengketaan termasuk politik kepartian.

“Dalam khutbah Jumaat kedua, kita minta kepada Allah jadikan masjid dan surau ini tempat yang menyatukan ummah. Saya masuk (Jais), saya ubah (masukkan perkara itu dalam) khutbah itu,” jelasnya, yang memimpin jabatan itu mulai September 2019.

__________________________________________________________________________________________________________

Berikut sebahagian petikan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Keenam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Yang ke-14 Tahun 2023 di Bangunan Dewan Negeri Selangor pada 13 Mac 2023.

Bukan medan propaganda parti

Di dewan ini Beta mengambil kesempatan secara peribadi ingin mengingatkan semula kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat agar tidak menjadikan masjid dan surau sebagai medan dan propaganda politik kepartian.

Beta telah beberapa kali bertitah dan mengingatkan Mais dan Jais agar memastikan masjid dan surau bebas dari segala unsur-unsur politik yang boleh memecahbelahkan perpaduan dan keharmonian umat Islam.

Masjid dan surau tidak seharusnya menjadi punca kepada perbalahan dan sengketa yang akhirnya membina jurang pemisah di kalangan umat Islam atas dasar perbezaan fahaman politik dan dendam politik yang tiada kesudahannya.

Pecah belah

lni berlaku lantaran terdapat penceramah-penceramah tertentu ketika memberi ceramah di masjid dan surau telah mengambil kesempatan untuk menyindir, menghina, mencaci malah memfitnah pihak-pihak dan golongan tertentu atas sebab perbezaan fahaman politik.

Beta amat bimbang budaya sebegini jika tidak dibendung akan terus memecah belahkan umat Islam khususnya orang Melayu.

Melihat kepada kesan dan implikasi buruk ini, Beta telah menitahkan bahawa hanya mereka yang berkelayakan dan mempunyai tauliah dari Jawatankuasa tauliah Mais sahaja yang dibenarkan untuk memberi ceramah, kuliah, tazkirah atau pengajian di masjid, surau atau di mana-mana tempat di negeri Selangor ini.

Fitnah

Sekali lagi Beta menegaskan bahawa hanya mereka yang benar-benar mahir dan mempunyai pengetahuan yang luas mengenai agama Islam sahaja yang layak untuk diberikan Tauliah untuk mengajar bagi mengelakkan anasir ajaran sesat serta budaya fitnah-memfitnah dari berlaku.

Menjelang PRN di Negeri Selangor pada tahun 2023 ini, Beta ingin mengingatkan Mais secara berterusan mengeluarkan arahan dari semasa ke semasa agar umat Islam khususnya orang-orang politik tidak menjadikan masjid dan surau di negeri Selangor sebagai pentas untuk mereka berceramah dan berkempen.

Beta menyeru untuk semua pihak yang mengambil bahagian di dalam pilihan raya nanti agar mematuhi peraturan sedia ada dan saling hormat-menghormati satu sama lain. lngatlah, tingkah laku orang-orang politik semasa tempoh kempen akan disaksikan dan dinilai oleh rakyat sebelum mereka membuat pemilihan.


Pengarang :