Orang ramai menunggu giliran untuk membeli barangan keperluan asas di Jelajah Ehsan Rahmah peringkat DUN Lembah Jaya di Laman Niaga @ Ampang Waterfront pada 25 September 2023. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Pengunjung mahu program JER diteruskan, pasar jadi pilihan kedua beli barang dapur

AMPANG JAYA, 25 SEPT: Pengunjung Jelajah Ehsan Rahmah (JER) mengakui ternanti-nanti program kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) untuk membeli barangan dapur harga murah.

Suri rumah Najwa Pi.Amaddin, 34, berkata sejak tahun lalu beliau tidak lagi membeli barangan seperti ayam, ikan, daging, telur dan beras di pasar raya.

Najwa Pi.Amaddin. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI

“Saya memang akan beli di sini kerana lebih jimat dan barangnya bermutu. Seperti beras ia tidak mudah basi.

“Di pasar raya saya hanya akan beli barangan yang tiada di JER kerana ingin berjimat. Jadi belanja bulanan kami setiap bulan pun berkurang sejak adanya program ini,” katanya ketika ditemui di JER DUN Lembah Jaya di Laman Niaga @ Ampang Waterfront hari ini.

Sementara itu, pesara Aminuddin Che Din, 66, berkata program tersebut amat membantu rakyat yang berdepan dengan isu kos sara hidup tinggi.

“Program ini memang sangat baik dan memang saya ikuti jika ada di kawasan sekitar. Contohnya semalam saya pergi ke Keramat kerana ia dianjurkan di sana.

Aminuddin Che Din. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI

“Boleh saya katakan semua pengunjung mahu inisiatif ini diteruskan. Diharap Kerajaan Negeri pertimbangkan permintaan rakyat kerana program ini kerana sangat membantu meringankan beban golongan berpendapatan rendah,” katanya.

Selangor membelanjakan subsidi berjumlah RM40 juta untuk melaksanakan jualan murah di 2,850 lokasi yang memanfaatkan lebih 5 juta rakyat.

PKPS pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Lokasi terkini JER seluruh negeri boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS

Orang ramai membeli barangan keperluan asas di Jelajah Ehsan Rahmah peringkat DUN Lembah Jaya di Laman Niaga @ Ampang Waterfront pada 25 September 2023. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI
Orang ramai membeli barangan keperluan asas di Jelajah Ehsan Rahmah peringkat DUN Lembah Jaya di Laman Niaga @ Ampang Waterfront pada 25 September 2023. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI

Pengarang :