AGENDABERITA UTAMANASIONALRENCANAWAWANCARA

Bahaya bom fosforus putih kepada warga Gaza

Oleh Dr Zamir Mohyedin

Konflik Israel-Palestin baru-baru ini menimbulkan kemarahan masyarakat apabila Human Rights Watch (HRW) mengesahkan rakaman video yang menunjukkan rejim itu menggunakan senjata fosforus putih dalam operasi ketenteraannya di Gaza dan Lubnan.

Rentetan itu, pasukan pertahanan Israel (IDF) menafikan penggunaannya di Gaza. Namun, IDF tidak memberikan sebarang jawapan tentang penggunaan ke atas Lubnan.

Penggunaan ini bukanlah pertama kali. Pada 2006 di Lubnan dan, antara 2008 hingga 2009, sewaktu Perang Gaza, Israel mengakui menggunakan fosforus putih dalam operasi walaupun pada peringkat awal menafikannya.

HRW telah mengesahkan ketulenan rakaman video yang tersebar itu melalui pakar senjata. Ia juga mengesahkan lokasi dan waktu kejadian.

Penggunaan fosforus putih sebagai senjata bermula sejak Perang Dunia lagi. Amerika Syarikat pernah menggunakannya ketika Perang Iraq pada 2004.

Kepulan asap tebal menyeliputi bandar Gaza susulan serangan udara Israel pada 11 Oktober 2023. Foto REUTERS

Malah Rusia pernah dituduh menggunakan bahan kimia berbahaya ini ketika menyerang Ukraine pada 2022.

Fosforus putih merupakan unsur paling mudah menyala apabila berinteraksi dengan udara. Nyalaannya menghasilkan haba setinggi dari 1,500° Celcius hingga 2,500° Celcius.

Ia muncul dalam keadaan tidak berwarna, putih ataupun kuning dan berbau seperti bawang putih.

Fosforus putih akan terus menyala dan membakar selagi mana adanya oksigen. Ia akan berhenti menyala kalau tiada oksigen ataupun selepas semua fosforus putih itu habis terbakar.

Selagi tidak habis, ia akan terus membakar. Disebabkan fosforus putih tidak stabil, ia biasanya disimpan di dalam air. Walaupun air terdiri daripada oksigen, fosforus putih hanya bertindak balas kepada dioksigen (O2), bukan monoksigen (O) yang terkandung dalam air.

Tidak sengaja

Fosforus putih tidak dapat dijumpai secara semula jadi. Ia pertama kali dihasilkan secara tidak sengaja oleh Hennig Brand dalam usahanya untuk menghasilkan batu filsuf (philo-sopher’s stone).

Ia terhasil sewaktu Brand memanaskan air kencing yang mengandungi fosfat dan bahan berkarbon. Fosforus berasal daripada bahasa Yunani yang bermaksud “pembawa cahaya” kerana ia bersinar di dalam gelap.

Kadar toksik fosforus putih bergantung pada dosnya. Apabila fosforus putih dicucuh pada tubuh manusia pada dos tinggi, kulit kita akan terus mengelupas, koyak dan berlubang sehingga ke tulang.

Malah, ia berpotensi membawa kepada kematian. Pada dos yang rendah, kesannya dapat membuatkan tubuh badan kita tidak selesa, muntah-muntah dan pening kepala.

Bahayanya fosforus putih kepada manusia bukan hanya kerana sifatnya yang membakar, tetapi juga kerana sifatnya sangat mudah terlarut dengan lemak, tuntas terlarut dengan tubuh manusia.

Letupan fosforus putih di udara dirakam di pelabuhan Gaza pada 11 Oktober 2023. Foto AFP

Disebabkan sifat ini, ia dapat memberikan kesan jangka masa panjang kepada organ penting seperti jantung, buah pinggang dan hati.

Undang-undang antarabangsa tidak mengharamkan penggunaan fosforus putih di dalam peperangan dengan syarat ia tidak disasarkan ke atas orang awam dengan sengaja. Penggunaan ke atas orang awam dianggap sebagai jenayah perang.

Namun, di dalam peperangan, tempias ke atas orang awam tidak dapat dielakkan. Malah, hampir mustahil untuk membezakan antara tentera dan orang awam ketika berperang di kawasan padat penduduk.

Peraturan ini sebenarnya menyulitkan untuk menentukan sama ada suatu pihak itu sengaja menggunakan fosforus putih ke atas orang awam ataupun tidak.

Untuk membuktikan fosforus putih digunakan itu mudah. Sengaja ataupun tidak ia digunakan ke atas orang awam, sangat rumit untuk disiasat.

Keadaan bangunan di semenanjung Gaza yang musnah susulan serangan udara tentera Israel pada 8 Oktober 2023. Foto ihsan Global Peace Mission Malaysia

Pengarang :