Wakil 46 sekolah dalam daerah Petaling mendapatkan modul Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) daripada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI di SMK Seksyen 18 Shah Alam pada 21 Julai 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MBI belanja RM25 juta laksana pelbagai program CSR setakat ini

SEPANG, 7 NOV: Sejumlah RM25 juta dibelanja Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI bagi menggerakkan pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sejak awal tahun hingga kini.

Ketua CSR dan Komunikasi Korporatnya Ahmad Azri Zainal Nor berkata dana tahunan digunakan bagi pelaksanaan Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS), sumbangan Haji Muassasah selain Bantuan Khas Kewangan (BKK) kepada petugas masjid dan ketua kampung.

Beliau memaklumkan program lain membabitkan aktiviti bersama komuniti, sukan, pengupayaan dan bantuan bagi meringankan beban mangsa bencana.

“MBI terima peruntukan tahunan RM30 juta untuk menjayakan program CSR. Setakat ini tiada keperluan tambah peruntukan kerana sudah penghujung tahun.

“Cuma ketika ini kita tumpu hadapi bencana. Kita sudah siapkan hampir RM500,000 bagi tujuan itu,” katanya ditemui selepas penyerahan bantuan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dengkil di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata Selangor turut menerima dana tambahan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) yang akan diserah kepada Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN).

“CSR MBI akan bekerjasama dengan UPBN untuk buat perolehan bagi tujuan sumbangan bencana seperti makanan retort dan kit kebersihan,” katanya.


Pengarang :