PBTSELANGOR

Peniaga sekitar MPAJ diminta perbaharui lesen, elak denda maksimum RM1,000

SHAH ALAM, 8 NOV : Peniaga atau penjaja di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) diminta perbaharui lesen perniagaan sebelum 1 Januari 2024.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menerusi Facebook memaklumkan pembaharuan lesen boleh dibuat secara dalam talian bagi mengelakkan tindakan kompaun maksimum RM1,000 dikenakan.

Permohonan boleh dibuat menerusi https://icomm.mpaj.gov.my (pembaharuan lesen premis perniagaan) atau melalui https://intranet.mpaj.gov.my/penjaja/login.php (pembaharuan lesen penjaja).

“Bagaimanapun, bagi memudahkan pemilik premis perniagaan dan penjaja, mereka boleh perbaharui lesen di Galeri aras 4, Menara MPAJ sehingga 31 Disember 2023 (kecuali Sabtu, Ahad dan cuti umum).

“Selain itu, kaunter turut dibuka di aras 1, Melawati Mall sehingga hujung Disember. Kaunter beroperasi pada jam 10 pagi hingga 5 petang (hari bekerja termasuk Sabtu dan Ahad minggu satu dan tiga sahaja),” katanya.

Namun, pemilik serta penyewa premis perniagaan juga diingat menjelaskan cukai taksiran termasuk semua tunggakan sebelum memperbaharui lesen.

“Sekatan bagi sebarang perkhidmatan MPAJ akan dilaksanakan melalui Sistem Kelulusan Bersepadu secara manual bermula 1 Oktober 2023 sekiranya terdapat tunggakan cukai taksiran,” kata PBT itu.


Pengarang :