Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas merasmikan Majlis sambutan Hari Integriti dan pelancaran Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) MBI dan anak syarikat milikannya di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 8 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Negeri pertingkat usaha tangani banjir, siap sedia musim tengkujuh

SHAH ALAM, 8 NOV: Kerajaan Negeri mengambil langkah segera untuk mengurangkan risiko banjir terutama ketika musim Monsun Timur Laut yang diramal bermula beberapa hari lagi.

Dato’ Menteri Besar berkata beliau akan mendapatkan laporan unit pengurusan bencana negeri dan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) mengenai tindakan bagi menangani banjir di lokasi yang dikenal pasti berisiko tinggi.

“Saya akan dapatkan laporan antara esok atau pagi Jumaat. Kita menunggu laporan berhubung langkah yang diambil pihak berkaitan bagi mengelak berlakunya banjir. Bulan lalu saya sudah memberi arahan supaya kawasan kerap banjir ditangani tetapi masih berlaku.

“Saya serius untuk menangani isu ini kerana bah kerap berlaku di tempat sama seperti Kampung Chemperai (Sepang), Labohan Dagang dan Bukit Changgang (Banting),” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui selepas menyempurnakan majlis pelancaran Pelan Anti Rasuah Organisasi Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI di Pusat Konvensyen Shah Alam, hari ini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata persediaan rapi telah diambil untuk mendepani banjir termasuk menyediakan keperluan asas kepada mangsa terlibat.

“Selain memastikan keperluan asas kepada mangsa banjir cukup, kita turut menghulurkan bantuan segera wang tunai RM500 kepada mereka,” katanya.


Pengarang :