EXCO Pelaburan dan Perdagangan, Pembangunan IKS dan Wilayah Ekonomi Baharu, Mobiliti Selangor Ng Sze Han ketika sidang media pengumuman perolehan Pameran Udara Selangor (SAS) 2023 di Bilik Gerakan MTES, Shah Alam pada 20 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Ekonomi negeri dijangka melonjak dengan sasaran pelaburan RM50 bilion

SUBANG JAYA, 13 JAN: Ekonomi negeri tahun ini dijangka terus melonjak dengan sasaran pelaburan meningkat kepada RM50 bilion berbanding tahun lalu, kata EXCO pelaburan.

Menurut Ng Sze Han, tahun lalu Kerajaan Negeri mensasar pelaburan RM45 bilion, namun kini dijangka terus meningkat atas beberapa faktor termasuk kedudukan strategik Selangor.

“Baru-baru ini, kita terima banyak permintaan dari negara luar khusus China termasuk kilang bateri terbesar, Tenpower yang berminat melabur di Selangor kerana mempunyai Pelabuhan Klang dan dua lapangan terbang(Subang Jaya dan KLIA).

“Ini merupakan kekuatan Selangor selain mempunyai beberapa tapak perindustrian yang sedang dibangunkan menjadi tarikan utama. Pelabur boleh memilih tapak mana dikehendaki yang bersesuaian dengan mereka,” katanya.

Ditemui dalam satu acara penanaman pokok di BK 3/1 Bandar Kinrara di sini, Sze Han memaklumkan antara sektor yang membantu meningkatkan pelaburan di Selangor termasuklah pembuatan, pergudangan dan logistik.

“Antara tarikan ialah logistik kerana Selangor terletak di tengah semenanjung dan Asia Tenggara yang mana lokasinya sesuai untuk pelaburan.

“Beberapa projek mega akan masuk dan bertapak di Selangor… kita akan umumkan nanti,” katanya,

Tahun lalu, Sze Han memaklumkan kilang pembuatan bateri lithium ion terbesar di China, Tenpower bersetuju membangunkan kilang seluas 48 ekar di Kuala Langat, dengan nilai pelaburan RM1.3 bilion.

Beliau menerusi lawatan bersama Invest Selangor Berhad ke republik itu berkata pelaburan berkenaan juga akan mewujudkan 700 peluang pekerjaan antaranya jurutera.


Pengarang :