Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia kepada Pengerusi Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Istiadat Pengurniaan sebagai perdana menteri ke-10 di Istana Negara pada 24 November 2022. Foto BERNAMA
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Empat PM dalam pemerintahan, Al-Sultan Abdullah arif tangani kemelut politik

Oleh ABDUL RAHIM SABRI

Yang di-Pertuan Agong ke-16 Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah arif menangani krisis negara sepanjang lima tahun pemerintahannya.

Kemelut politik saban tahun sejak Baginda bersemayam di Istana Negara pada 31 Januari 2019 menjadikan Baginda satu-satunya ketua utama negara memayungi empat pentadbiran persekutuan.

Pemerintahan Al-Sultan Abdullah juga diingati berlakunya situasi parlimen tergantung buat pertama kali dalam sejarah tanah air selepas pilihan raya umum pada November 2022.

Cermat memainkan peranan utama di tengah-tengah perebutan kuasa eksekutif itu, Baginda sentiasa berunding dengan Majlis Raja-Raja setiap kali timbul krisis politik.

Baginda berdepan perpecahan kerajaan Pakatan Harapan yang menyaksikan pertukaran pentadbiran persekutuan yang pertama kali berlaku di luar proses pilihan raya pada 2020.

Pada 2021, Al-Sultan Abdullah menegur pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menutup parlimen selepas menerima perkenan pengisytiharan darurat atas alasan penularan Covid-19.

Sebaliknya, jangkitan naik mendadak dan suntikan vaksin perlahan hingga mencetus pertikaian. Baginda dua kali bertitah menggesa parlimen bersidang untuk perbahasan.

Namun, Baginda menzahirkan rasa dukacita berikutan pembatalan Ordinan Darurat yang dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Takiyuddin Hassan tanpa perkenan Baginda.

Al-Sultan Abdullah berdepan satu lagi cabaran apabila kerajaan Muhyiddin hanya bertahan 17 bulan. Baginda kemudian memanggil ketua-ketua parti utama bagi mengetahui sokongan mereka.

Selepas mesyuarat khas Majlis Raja-Raja, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik perdana menteri pada 21 Ogos tetapi pentadbirannya hanya 14 bulan ekoran parlimen dibubar.

Keputusan pilihan raya umum 2022 menyaksikan tiada gabungan parti politik memiliki majoriti. Al-Sultan Abdullah mencadangkan kerajaan perpaduan tetapi tidak diterima.

Berikutan ada akta melarang wakil rakyat mengalih sokongan tanpa parti yang diwakilinya, Baginda melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri selepas mendapat pandangan Majlis Raja-Raja.

Ekoran kekerapan pertukaran pucuk pimpinan, Baginda menitahkan pemimpin politik lebih matang dan tidak berbalah dengan mengetepi perbezaan demi kepentingan negara.

Berikut perkembangan pemerintahan Baginda:

2019

31 Januari: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah ditabal Yang di-Pertuan Agong susulan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V meletak jawatan berkuat kuasa 6 Januari 2019. Baginda memerintah negara lebih dua tahun sejak 13 Disember 2016

2020

24 Februari: Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad letak jawatan perdana menteri ketujuh, mengakhiri pentadbiran selama 22 bulan. Beliau mengangkat sumpah perdana menteri pada 10 Mei 2018.

Yang di-Pertuan Agong umum beliau sebagai perdana menteri sementara.

25-26 Februari: Al-Sultan Abdullah bertemu semua ahli parlimen di Istana Negara untuk mengetahui pandangan calon pengganti Dr Mahathir

28 Februari: Mesyuarat khas Majlis Raja-Raja, dilaporkan bincang kemelut politik

29 Februari: Selepas berpuas hati, Baginda berkenan lantik Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri kelapan. Beliau mengangkat sumpah 1 Mac

20 Mac: Yang di-Pertuan Agong menitahkan rakyat mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac hingga 31 Mac di seluruh negara bagi mengekang penularan pandemik Covid-19

23 Oktober: Muhyiddin persembah permohonan pelaksanaan darurat ekoran wabak maut Covid-19 di Istana Abdul Aziz, Kuantan

25 Oktober: Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja tidak perkenan cadangan pelaksanaan darurat

28 Oktober: Al-Sultan Abdullah menyeru semua ahli parlimen menyokong Belanjawan 2021 yang dibentang di Dewan Rakyat pada 6 November untuk menangani Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara, sekali gus diluluskan tanpa sebarang gangguan

2021

11 Januari: Perdana menteri ke Istana Negara menyembah maklum cadangan baharu pelaksanaan pengisytiharan darurat membendung Covid-19

Baginda perkenan isytihar darurat sehingga 1 Ogos atau lebih awal. Sebanyak 2,232 kes positif pada hari pertama darurat

12 Januari: Muhyiddin umum darurat secara langsung, memaklumkan Parlimen dan semua Dewan Undangan Negeri tidak boleh bersidang sepanjang tempoh darurat, termasuk pilihan raya kecil

24 Februari: Al-Sultan Abdullah menzahirkan pandangan Parlimen boleh bersidang seperti jadual biasa pada Mac walau dalam tempoh darurat, ketika majlis menghadap Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara

21 April: Jumlah jangkitan wabak maut itu mula kembali ke paras awal darurat dengan 2,551 kes setelah menurun kepada lebih 1,000 kes sepanjang Mac

29 Mei: Jumlah jangkitan 9,020 kes, lebih kurang empat kali ganda daripada jumlah pada hari pertama darurat berkuat kuasa

16 Jun: Yang di-Pertuan Agong bertitah sidang Parlimen perlu diadakan “secepat mungkin”, bahas Proklamasi Darurat, Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara selepas Perbincangan Khas Raja-Raja di Istana Negara. Raja-Raja zahirkan pandangan tiada keperluan negara berada dalam darurat selepas ia tamat pada 1 Ogos

29 Jun: Baginda sekali lagi menzahirkan Parlimen perlu bersidang “secepat mungkin” ketika menerima menghadap Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara

5 Julai: Kerajaan mengumum sidang Dewan Rakyat akan diadakan selama lima hari mulai 26 Julai hingga 2 Ogos

26 Julai: Parlimen hanya mengadakan sidang khas bagi taklimat beberapa menteri. Sidang ini tidak membolehkan perbahasan, usul dan undi

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Takiyuddin Hassan maklumkan Ordinan Darurat sudah dimansuh berkuat kuasa 21 Julai

Ahli parlimen pembangkang mendesak perkara itu dijelaskan pada hari akhir sidang khas 2 Ogos

29 Julai: Yang di-Pertuan Agong “amat dukacita” pembatalan Ordinan Darurat tanpa perkenan Baginda, ulang kali keempat ia harus dibentang dan dibahaskan di Parlimen seperti dititahkan semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai

Pejabat Perdana Menteri jelaskan sidang khas hanya “penerangan menteri dan tiada sebarang usul untuk mengungkai Ordinan Darurat”

Ia juga jelaskan kabinet putuskan untuk nasihat Yang di-Pertuan Agong membatalkan Ordinan Darurat sebelum sidang khas Parlimen 26 Julai

Sidang khas Parlimen ditunda beberapa kali termasuk untuk mengadakan saringan selepas dimaklumkan ada dua kes Covid-19 dikesan dalam saringan

30 Julai: Warkah Yang di-Pertuan Agong kepada perdana menteri tersebar di media sosial walau tiada pengesahan atau penafian daripada Istana Negara

Kandungannya jelaskan asas-asas Baginda tidak perkenan batalkan Ordinan Darurat tanpa pembentangan di Parlimen seperti diputus oleh jemaah menteri sendiri

31 Julai: Jumlah jangkitan tertinggi di seluruh negara dengan 17,786 kes, membuktikan alasan mengadakan darurat gagal sepenuhnya setelah peningkatan dikesan sejak April dan memuncak semula pada Mei

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Rashid Hasnon arahkan tiada sidang khas pada 2 Ogos yang dijadual membincangkan isu darurat

1 Ogos: Kementerian Kesihatan cadang semua sesi pertemuan termasuk sidang khas dan mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas ditangguh selama dua minggu mulai 29 Julai

2 Ogos: Parlimen ditutup dengan semua laluan ke bangunan tersebut dalam kawalan ketat polis

3 Ogos: Perdana menteri menyatakan kesediaan kerajaan bawa usul bahas dan ungkai ordinan tersebut pada sidang September. Seramai 15 wakil rakyat Umno menarik sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) dan dakwa gabungan itu hilang majoriti

16 Ogos: Muhyiddin letak jawatan selepas sejumlah wakil rakyat Barisan Nasional (BN) tarik semula sokongan. Pentadbirannya hanya bertahan 17 bulan, lebih pendek dari 22 bulan Kerajaan HARAPAN bawah pentadbiran Dr Mahathir

20 Ogos: Selepas mesyuarat khas Majlis Raja-Raja, Baginda perkenan lantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ahli parlimen Bera, sebagai perdana menteri kesembilan

2022

28 Februari: Sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14, Al-Sultan Abdullah bertitah mahu pemulihan ekonomi negara disegerakan agar Malaysia
tidak ketinggalan

9-10 Mac: Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-258 yang bersidang bersetuju memperkasakan semula peranan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) yang berperanan menasihatkan Raja-raja Melayu dalam menambah baik tadbir urus Islam di peringkat Persekutuan

6 Jun: Al-Sultan Abdullah menuntut persefahaman dan pengorbanan semua pihak untuk mewujudkan landskap politik yang stabil dan berterusan demi merancak pertumbuhan ekonomi. Sekali gus mengelak ‘defisit keyakinan’ yang boleh menjejaskan imej dan masa depan negara

5 September: Ketika orang ramai membicarakan di media sosial mengenai kewajaran pemimpin politik bersalah diampunkan, Al-Sultan Abdullah bertitah kuasa menghukum dan memberi pengampunan tidak digunakan sewenang-wenangnya kerana ia bakal dipertanggungjawabkan kelak di hari kemudian

10 Oktober: Al-Sultan Abdullah berkenan Parlimen dibubar bagi adakan pilihan raya umum (PRU) ke-15

19-20 November: Tiada gabungan parti politik dapat majoriti mudah (112 daripada 222 kerusi) untuk bentuk kerajaan persekutuan

20 November: Istana Negara minta ketua parti dan gabungan kemuka nama calon perdana menteri sebelum 2 petang pada 21 November

21 November: Yang di-Pertuan Agong lanjut tempoh parti politik tubuh kerajaan sehingga 2 petang 22 November selepas permintaan BN

22 November: Al-Sultan Abdullah mendapati tiada ahli Dewan Rakyat dapat kepercayaan majoriti untuk dilantik perdana menteri. Dewan Tertinggi BN tolak bentuk kerajaan persekutuan dengan HARAPAN atau PN

Baginda memanggil menghadap Pengerusi HARAPAN Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin Perikatan Nasional, Muhyiddin serta Tan Sri Abdul Hadi Awang secara berasingan

Anwar maklum Baginda beri masa setiap parti bentuk kerajaan perpaduan. Tetapi Muhyiddin menolak

24 November: Selepas mesyuarat khas Raja-Raja Melayu, Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10

2023

13 Februari: Yang di-Pertuan Agong menzahirkan harapan Anwar menjadi perdana menteri terakhir dilantik di bawah penggal pemerintahannya.

“Beta berharap Perdana Menteri yang ke-10 ini adalah yang terakhir buat beta sebelum beta berangkat pulang ke negeri Pahang Darul Makmur,” titah Seri Paduka pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Parlimen ke-15

27 Oktober: Mesyuarat Majlis Raja-Raja bersetuju untuk memilih Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 selama lima tahun berkuat kuasa 31 Januari 2024

 


Pengarang :