Pemain Malaysia Arif Aiman Hanapi melakukan cubaan menjaringkan gol pada perlawanan Korea Selatan menentang Malaysia peringkat Kumpulan E pada Piala Asia 2023 di Stadium Al Janoub, Doha pada 25 Januari 2024. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Malaysia calar reputasi Korea Selatan apabila catat keputusan seri 3-3

Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

DOHA, 25 JAN: Skuad Harimau Malaya menampilkan belangnya dan hampir menumbangkan juara dua kali Korea Selatan sebelum mencatat keputusan seri 3-3 pada perlawanan terakhir Kumpulan E saingan Piala Asia 2023 di Stadium Al Janoub di sini, malam ini.

Pemain tengah Jeong Woo-yeong membuka tirai jaringan di separuh masa pertama sebelum Malaysia bangkit mendahului perlawanan selepas 17 minit separuh masa kedua bersambung menerusi gol Mohamad Faisal Abdul Halim dan penalti Arif Aiman Mohd Hanapi.

Penyokong bersorak di Stadium Nasional Bukit Jalil ketika menonton perlawanan Piala Asia Qatar 2023, di antara pasukan Malaysia dan Korea Selatan secara langsung menerusi tiga skrin gergasi, ketika tinjauan pada 25 Januari 2024. Foto BERNAMA

Namun, Korea Selatan menyamakan kedudukan ketika berbaki 10 minit masa permainan sebenar hasil gol sendiri penjaga gol Ahmad Syihan Hazmi Mohamed sebelum mendahului 3-2 menerusi penalti pemain bintang Tottenham Hotspur Son Heung-min pada masa tambahan.

Pemain gantian yang juga pemain naturalisasi Romel Morales muncul wira apabila menyumbat gol ketiga pasukan negara pada masa tambahan yang memasuki 15 minit untuk menghadiahkan satu mata kepada Malaysia pada kempen kali ini.

Keputusan itu menyaksikan Korea Selatan kekal di posisi kedua Kumpulan E dengan mengumpul lima mata sementara Malaysia tidak pulang dengan tangan kosong apabila membawa satu mata dan boleh berbangga dengan tiga gol yang dihasilkan menentang antara pasukan gergasi Asia itu.

– BERNAMA


Pengarang :