Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan melawat pameran selepas pengisytiharan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) di Hotel Wyndham Acmar, Klang pada 5 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Sultan mahu Klang kekal imej bersih, miliki daya tarikan sejarah

KLANG, 5 FEB: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menitahkan bandar raya Klang yang dinaik taraf dikenali dengan imej bersih dan memiliki daya tarikan warisan bersejarah.

Justeru, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah perkara yang perlu diberi perhatian ialah kebersihan kawasan perumahan, sungai dan tebing serta kemudahan prasarana yang baik.

Baginda juga menenkankan tumpuan terhadap penyusunan semula sektor perumahan dan kawasan perniagaan selain mengatasi masalah populasi burung gagak dan pengawalannya.

“Bandar raya Klang dekat di hati Beta, bukan kerana menempatkan Istana Alam Shah namun Klang menyimpan pelbagai sejarah kesultanan Selangor dan juga penubuhan negeri.

“Beta menyaksikan pembangunan bandar Klang melalui pelbagai fasa dari segi perubahan fizikal, sosial dan demografik mahupun populasi penduduk yang semakin meningkat setiap tahun.

“Beta bersyukur Klang melalui pelbagai fasa kejayaan dan cabaran sejak zaman penjajahan sehingga hari ini yang membolehkan rakyat menikmati pembangunan dan kemajuan yang pesat,” titah Baginda.

Baginda juga mahu pihak bertanggungjawab terus mempromosikan tempat menarik dan bersejarah bagi menggiatkan industri pelancongan Klang, sekali gus menjana ekonomi dan pendapatan penduduk.

Terdahulu, Sultan Selangor berkenan menyempurnakan istiadat pengisytiharan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) yang berlangsung di Hotel Wyndham, dekat sini.

Pada Julai tahun lalu, kerajaan persekutuan mengumumkan Majlis Perbandaran Klang dinaik taraf kepada bandar raya, sekali gus menjadi pihak berkuasa tempatan ke-20 memperoleh status berkenaan.

Berikutan itu, kerajaan persekutuan dan Kerajaan Negeri menyalur peruntukan RM34.6 juta untuk menambah baik kemudahan awam di Klang antaranya pasar, tandas awam dan laluan pejalan kaki.


Pengarang :