Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming menyerahkan cek cura kepada Malis Perbandaran Hulu Selangor ketika sidang media lawatan kerja ke Kuala Kubu Bharu di Kampung Asam Kumbang, Hulu Selangor pada 18 April 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

KPKT peruntuk lebih RM5 juta baiki kemudahan awam di Hulu Selangor

HULU SELANGOR, 18 APRIL: Sebanyak RM5.21 juta disalur ke Hulu Selangor, di sini bagi menaik taraf lebih 10 projek kemudahan awam selain sumbangan kepada rumah ibadat bukan Islam.

Menteri perumahan dan kerajaan tempatan berkata antara kerja yang bakal dilakukan ialah membaiki medan selera, pasar awam Rasa serta beberapa kemudahan di Taman Tasik Millenium selain kerja penurapan beberapa jalan.

Jelas Nga Kor Ming, semua dana berkenaan diserah kepada Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) serta majlis pengurusan komuniti kampung yang bertanggungjawab melaksanakannya.

“Peruntukan ini bagi mempertingkatkan keselesaan, keselamatan dan kesejahteraan penduduk. Inilah sentuhan kasih yang akan menjana ekonomi setempat dan membawa kemakmuran kepada penduduk di kawasan ini.

“Kita turut menyalur RM10,000 kepada Persatuan Bomba Sukarelawan di sini bagi meningkatkan kecekapan pasukan.

“Kementerian turut meluluskan RM250,000 untuk membaiki bangunan rumah ibadat yang sudah uzur,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu beliau menerusi program Sentuhan Kasih KPKT meluang masa melawat beberapa kawasan sekitar Hulu Selangor antaranya Taman Tasik Milenium, medan selera sekitar Jalan Abdul Hamid, Kampung Assam Kumbang dan program Rumah Madani Rakyat Kampung Air Panas.

Kor Ming ditemani EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata Hulu Selangor merupakan lokasi pembuka tirai bagi menjayakan program berkenaan yang akan diteruskan ke negeri lain selepas ini.

 


Pengarang :